SAUDARA PENGARANG,
Dahulu sering terdengar rungutan daripada orang ramai berhubung layanan kurang memuaskan di klinik kerajaan menyebabkan ramai memilih klinik swasta.
Ada menyatakan kakitangan kurang mesra, perlu menunggu berjam-jam lamanya dan pesakit dilayan kasar.
Baru-baru ini, saya ke klinik kerajaan untuk mendapatkan rawatan. Namun, pengalamannya berbeza dengan berita yang didengari selama ini.
Saya dilayan dengan baik walaupun kakitangan di sana menyedari selama ini saya mendapat rawatan di klinik swasta. Cuma mungkin sedikit ralat kerana perlu menunggu selama empat jam sebelum dapat berjumpa doktor.
Saya memahami keadaan tersebut ekoran perkhidmatan daripada pihak kerajaan ini menjadi pilihan ramai sehingga berlakunya kepadatan temu janji.
Ketika pandemik Covid-19, pihak klinik hanya membenarkan pesakit dengan temu janji mendapatkan rawatan bertujuan mengelak kesesakan selain membantu mengurangkan kebarangkalian jangkitan dalam kalangan pesakit.
Usaha Kementerian Kesihatan ini harus dipuji dan pada masa sama, diharap pesakit bersabar sepanjang tempoh mendapatkan rawatan.
SORAYA ISA
Desa Petaling, Kuala Lumpur