SAUDARA PENGARANG,
PENDEDAHAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini bahawa hanya 20 peratus daripada 250,000 pekerja ekonomi gig (pekerjaan kontrak jangka pendek) berdaftar yang membuat caruman menerusi i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agak membimbangkan.
Ini kerana sektor perkhidmatan seperti penghantaran makanan yang menjadi trend sekarang tidak dilindungi jaringan keselamatan sosial tanpa ada apa-apa jaminan dalam bentuk perlindungan insurans sedangkan mereka berdepan dengan pelbagai risiko keselamatan.
Justeru, mereka disaran untuk mengambil sekurang-kurangnya perlindungan insurans kemalangan bagi menampung perbelanjaan rawatan sekiranya terlibat dengan kejadian tidak diingini.
Sekiranya berkemampuan, mereka boleh menambah polisi insurans yang lebih bersifat menyeluruh untuk kesejahteraan diri sendiri dan keluarga.
Cadangan tersebut ekoran perkhidmatan penghantaran makanan berisiko terdedah kepada bahaya seperti kemalangan. Justeru, mereka perlu merancang kewangan dengan lebih baik sekali gus mengelakkan daripada terjerumus dalam keadaan hidup lebih susah pada masa akan datang.
NUR IZZATI
Kuala Lumpur