Peka perubahan ‘gaya’ anak - Utusan Malaysia

Peka perubahan ‘gaya’ anak

Keinginan pelajar untuk memiliki telefon bimbit model baharu secara percuma menyebabkan mereka terperangkap dalam aktiviti ketagihan dadah. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MODUS operandi yang menawarkan dadah dan telefon bimbit percuma sebagai umpan menjerat pelajar agar terjebak dengan dadah amat keterlaluan.

Ini kerana mereka menyedari kelemahan pelajar yang sering mengidamkan telefon pintar terbaharu, namun sukar dimiliki ekoran faktor harga yang mahal.

Cara ini dilihat paling bernas bagi pengedar dadah untuk menarik pelanggan baharu dalam kalangan pelajar sekolah.

Justeru, ibu bapa perlu peka tentang perubahan anak mereka termasuk dari segi barangan peribadi seperti gajet atau barangan lain yang secara tiba-tiba menjadi mewah atau mengambil tahu dengan siapa mereka berkawan.

Ini kerana jika mereka berkawan dengan orang yang lebih tua dan jarang berada di rumah, sewajarnya ibu bapa mula risau dan mengambil tindakan segera sebelum semuanya terlambat.

Begitu juga di sekolah, guru boleh mengambil langkah dengan menghubungi ibu bapa jika kehadiran atau prestasi pelajar semakin merosot. Mungkin pelajar tersebut mempunyai masalah atau terlibat dalam kancah dadah.

Ada kalanya ibu bapa berasa anak mereka ke sekolah tetapi sebenarnya melencong ke tempat lain dan terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah.

Justeru, adalah wajar semua pihak termasuk guru dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengawal pelajar agak mereka tidak mudah terpengaruh dengan dunia luar yang belum tentu mendatangkan faedah, selain bersemuka untuk mengetahui masalah yang ditanggung.

LUQMAN
Johor Bahru, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya