SAUDARA PENGARANG,
BAGI mereka yang pernah ke Amerika Syarikat (AS) dan sebahagian negara Eropah, mungkin antara isu sering dihadapi adalah ketiadaan kepala paip tandas.
Ini mengakibatkan masyarakat Islam khususnya terpaksa membawa botol air mineral apabila hendak istinjak selepas membuang air di tandas awam yang cuma ada tisu.
Justeru, tidak hairanlah apabila diumumkan perintah berkurung di AS dan negara-negara Eropah, antara benda yang paling dicari ialah tisu tandas. Pemandangan paling biasa adalah setiap troli di pasar raya penuh dengan puluhan gulung kertas tisu selain ada pelanggan bergaduh atau berebut untuk membelinya.
Ini cerita lucu pada Mac lalu ketika komuniti antarabangsa mula kecoh dengan penularan pandemik Covid-19. Kini lain pula kisahnya. Rakyat negara itu kembali kepada cara lama iaitu menggunakan paip air berbanding tisu tandas.
Selain kos murah dan mesra alam sekitar, air paling selamat hatta disyorkan semua pakar perubatan bagi mengekang wabak virus maut itu kerana ia menepati konsep kebersihan dan kesihatan.
Langkah itu juga akan mengurangkan pembaziran air. Ini kerana secara purata, seseorang hanya menggunakan 0.5 liter air dengan paip berbanding 140 liter untuk membuat segulung tisu tandas.
Dianggarkan rakyat AS setiap tahun menggunakan 37 bilion gulung tisu tandas, sekali gus 15 juta batang pokok di hutan terpaksa ditebang bagi memenuhi permintaan ‘rakus’ pasaran domestiknya.
AMREE AHMAD
Bangi, Selangor