SAUDARA PENGARANG,
INSTITUT Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menganggarkan pada Mac lalu, kira-kira 2.4 juta rakyat akan hilang pekerjaan jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dalam tempoh lama.
Berikutan peluang pekerjaan semakin terhad, antara kerjaya yang boleh diterokai adalah pemasaran berbilang tingkat (MLM).
Masih ramai yang skeptikal dan memandang sinis kepada pengedar dan syarikat jualan langsung walaupun telah bertapak sekian lama di Malaysia. Kata-kata ejekan, ‘meniaga larut malam’ seolah-olahnya sinonim dengan istilah MLM.
Di Malaysia, syarikat yang menjalankan jualan langsung mestilah berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Sehingga September lalu, terdapat 402 syarikat berdaftar dengan KPDNHEP dan 122 syarikat berdaftar di bawah Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM).
Bagaimanapun, ramai yang memilih MLM sebagai pilihan terakhir. Persoalannya, kenapa tidak dipilih lebih awal?
Kajian menyeluruh dan fikiran terbuka tentunya mendorong pilihan lebih tepat. Asas-asas carian maklumat untuk menceburkan diri dalam MLM ialah syarikat mempunyai lesen dan berdaftar dengan KPDNHEP dan DSAM.
Ciri-ciri lain ialah kos pendaftaran keahlian kurang daripada RM100, rekod syarikat, sistem pemasaran dan produk patuh syariah serta berkualiti.
KHALIJAH RAMLI & NOORMAHAYU MOHD. NASIR
UiTM Cawangan Perak Kampus Tapa