SAUDARA PENGARANG,
SYABAS saya ucapkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kontraktor yang terlibat melebarkan Jalan Sela-yang Baru di depan Pasar Harian Selayang daripada dua kepada empat lorong kedua-dua hala.
Projek tersebut saya lihat telah siap, cuma saya dapati hanya dua lorong boleh digunakan kerana satu lorong setiap hala dijadikan tempat meletakkan kenderaan.
Dalam pada itu, ketika tinjauan baru-baru ini, saya dapati kerja-kerja penurapan jalan utama sudah siap dijalankan. Cuma yang dikesalkan, banyak lorong di situ dibiarkan berlopak dan tidak rata terutama di kawasan gerai milik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Ketika tinjauan itu, saya lihat DBKL dan Jabatan Imigresen sedang menjalankan operasi bagi mengesan peniaga dan pekerja warga asing. Saya dimaklumkan oleh peniaga tempatan, operasi itu seolah-olah dapat dihidu awal kerana rakyat asing terutama etnik Rohingya sudah menghilangkan diri terlebih dahulu.
Menurut peniaga tempatan, masih ramai peniaga dan pekerja warga asing di situ terutama kawasan yang mereka gelar sebagai ‘payung biru’.
AZMAN ZABIDI
Selayang, Selangor