SAUDARA PENGARANG,
PENULARAN pandemik Covid-19 dijangka akan berlarutan sehingga tahun hadapan.
Justeru, pihak sekolah terutamanya prasekolah perlu membuat persediaan awal termasuk pelan sandaran sekiranya kerajaan mengeluarkan arahan untuk menangguhkan sesi persekolahan dalam tempoh lama.
Dalam masa sama, pihak prasekolah juga perlu melihat dari segi yuran pendaftaran sekolah kerana dalam tempoh pandemik ini, aktiviti lazim seperti konsert, majlis graduasi dan sukan sama sekali tidak dibenarkan, justeru tiada keperluan untuk ibu bapa membayar bagi tujuan tersebut.
Sekiranya penularan Covid-19 dapat dikawal dengan baik dan kerajaan membenarkan semula aktiviti tersebut, pihak sekolah boleh meminta bayaran pada kemudian hari.
Langkah ini dilihat lebih fleksibel dan meringankan bebanan ibu bapa yang terpaksa berhadapan pelbagai kekangan termasuk ekonomi akibat pandemik tersebut.
Malah, langkah itu juga membolehkan ibu bapa meneruskan pengajian anak di peringkat prasekolah.
Pendidikan peringkat awal ini penting bagi membantu anak-anak bersedia untuk memasuki alam persekolahan sebenar.
LIA NATASHA LUQMAN
Bukit Jalil, Kuala Lumpur