SAUDARA PENGARANG,
SUDAH berkali-kali kita mendengar kes pembedahan kosmetik yang gagal di negara ini dan pelanggan wanita yang menjalani prosedur sedut lemak maut. Oleh kerana prosedur itu bukan dijalankan di premis perubatan, ia tidak tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan.
Pada ketika ini, terdapat garis panduan mengenai amalan perubatan estetik yang digubal oleh Kementerian Kesihatan sejak 2013. Selain itu, terdapat Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dan Akta Perubatan 1971 yang boleh digunakan Kementerian Kesihatan untuk mendakwa doktor yang cuai dalam melakukan pembedahan kosmetik.
Bagaimanapun, undang-undang sudah lapuk itu tidak mencukupi untuk melindungi pengguna kerana tidak mempunyai kuasa menghukum ‘pakar bedah kosmetik’ tidak bertauliah yang memperdayakan pelanggan.
Dalam erti kata lain, undang-undang sedia ada tidak berupaya menghalang individu tidak bertauliah daripada melakukan pembedahan kosmetik atau prosedur bukan pembedahan serta mendakwa mereka atas tuduhan jenayah meskipun pesakit menemui maut atau mengalami kecacatan akibat hasil kerja tidak cekap.
Memandangkan pengguna sekarang begitu ghairah untuk kelihatan cantik, ramai yang mungkin tidak berfikir dua kali untuk menghabiskan ribuan ringgit bagi menjalani pembedahan bagi mencantikkan lagi wajah atau tubuh mereka.
Fenomena itu menyebabkan semakin ramai penduduk terutama wanita muda menjadi mangsa pusat kecantikan tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan daripada keinginan dan rasa kurang yakin dengan penampilan diri. Industri kecantikan dan kesihatan amat menguntungkan. Menurut Majlis Perubatan Malaysia, industri berbilion dolar itu berkembang 15 peratus setiap tahun.
Namun, potensi untuk memperoleh keuntungan besar telah mendorong peningkatan pengamal perubatan lorong belakang dengan kepakaran terbatas atau pengalaman sedikit dalam mengendalikan peralatan pembedahan ataupun peralatan kosmetik bukan pembedahan. Ini bukan sahaja menarik perhatian ‘doktor palsu’ malah pengamal perubatan umum yang tidak terlatih dalam bidang berkenaan untuk mengaut keuntungan dengan cepat.
Walaupun pelanggan pembedahan kosmetik zaman moden ini secara teori lebih bermaklumat, oleh itu lebih mampu membuat keputusan dengan pengetahuan luas, tragedi pembedahan kecantikan yang gagal masih berlaku. Kerosakan saraf dan kecacatan akibat bahan suntikan adalah aduan yang kerap didengar.
Tidak seperti doktor yang akan melakukan pemeriksaan teliti dan menyeluruh sebelum memutuskan pilihan bagi rawatan terbaik, pusat kecantikan sering kali lebih mengutamakan keinginan pelanggan tanpa mengira risiko perubatan.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan perlu bertindak tegas terhadap doktor yang menjalankan prosedur terbabit sungguhpun tidak terlatih dalam bidang pembedahan kosmetik.
Jadikan garis panduan untuk perubatan estetik sebagai satu undang-undang agar ia boleh dikuatkuasakan.
Kenakan hukuman penjara terhadap mereka yang mencabulinya. Langkah berbentuk hukuman perlu disepadukan dalam rang undang-undang baharu yang turut merangkumi pusat kecantikan dan pengendali haram.
MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)