SAUDARA PENGARANG,
PENULARAN kes Covid-19 di negara ini tidak menghalang untuk segelintir masyarakat mengambil kesempatan dengan menyampaikan maklumat palsu menerusi laman sosial dan aplikasi Whatsapp serta Telegram.
Dalam keadaan penularan wabak tersebut yang semakin merisaukan, ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat-maklumat palsu lalu menjadi tular sehingga mencetuskan kebimbangan dan panik.
Walaupun berkali-kali mereka dinasihati untuk tidak mudah percaya dengan maklumat yang disebarkan selain daripada pihak berkuasa, namun nampaknya masyarakat masih gemar percaya dan menyebarkannya dari seorang ke seorang yang lain.
Kerajaan juga sudah banyak kali menyatakan, penyebar maklumat palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang, tetapi seakan tidak diendahkan pula oleh masyarakat.
Sudah sampai masanya penguatkuasaan lebih tegas dikenakan terhadap mereka yang bersalah kerana sehingga kini masih ramai tidak patuh kepada arahan dengan menyebarkan maklumat palsu.
Setiap tindakan yang diambil oleh pihak berwajib kepada pesalah perlu diuar-uarkan dalam media agar masyarakat peka dan lebih berhati-hati sebelum menyebarkan maklumat yang belum tentu sahihnya kepada pihak ketiga.
ZARINA ZAIDI
Kuala Lumpur