SAUDARA PENGARANG,
PENINGKATAN bilangan hidupan liar yang terbunuh di jalan raya adalah satu isu yang amat sukar untuk tidak dipedulikan. Insiden terbaharu pada 28 September lalu melibatkan seekor tapir betina ditemukan mati di tepi jalan berhampiran Felda Kahang Barat, Kluang, Johor yang dipercayai dilanggar kenderaan.
Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, haiwan itu dipercayai tersesat dari habitat asalnya di Hutan Simpan Kluang dan keluar ke jalan berhampiran kawasan berkenaan.
Keadaan jalan yang lurus selain gelap pada waktu malam atau awal pagi dipercayai menjadi punca utama berlakunya kemalangan itu. Peningkatan bilangan kematian di jalan raya yang membimbangkan ini turut melibatkan haiwan domestik.
Dalam kemalangan jalan raya melibatkan kematian manusia, kes itu akan diberi perhatian, disiasat dengan tindakan susulan diambil. Tetapi dengan kematian hidupan liar, tiada siasatan atau langkah keselamatan diambil bagi mencegah kejadian daripada berulang.
Pemandu kenderaan lepas bebas memandangkan tiada pampasan perlu dibayar, tidak kira haiwan itu spesies nadir atau terancam. Lebih malang lagi, haiwan yang mati itu dipotong anggota badan untuk diambil oleh mereka kerana percaya dengan nilainya sebagai ubat perangsang.
Siapakah yang bersalah bagi kematian di jalan raya ini? Ketika memandu, kebanyakan pemandu tidak memikirkan kemungkinan akan bertembung dengan haiwan yang bergerak perlahan.
Kebanyakan yang terbunuh ialah biawak, ular, tenggiling, katak dan monyet. Kebanyakan pemandu tidak peduli untuk mematuhi papan tanda yang memberi amaran haiwan mungkin melintas.
Pembinaan rangkaian jalan raya melalui habitat hidupan liar dan peningkatan jumlah lalu lintas mempercepatkan lagi kepupusan haiwan berkenaan. Faktor lain adalah penebangan hutan, pemusnahan habitat, eksploitasi berlebihan dan pemburuan serta perdagangan hidupan liar.
Untuk mengurangkan kematian di jalan raya, pihak berkuasa membina jejambat untuk membolehkan hidupan liar bergerak dari satu bahagian hutan yang terpisah ke satu bahagian lain.
Jejambat hidupan liar mungkin membantu untuk mengurangkan kematian di jalan raya tetapi bukannya penyelesaian untuk mengatasi kesan buruk jalan raya terhadap haiwan terbabit. Kewujudan jejambat berkenaan tidak seharusnya menjustifikasikan pembinaan jalan raya di kawasan habitat hidupan liar. Pilihan pertama sepatutnya mengelakkan pembinaan jalan raya melalui habitat hidupan liar.
Tiada kaedah apa pun yang akan berjaya sepenuhnya dalam membasmi kematian haiwan tetapi kerajaan boleh meningkatkan kesedaran orang ramai dengan memasukkan peringatan di dalam kursus pendidikan memandu.
Pemandu mesti diingatkan supaya berhati-hati kerana haiwan mungkin berada berdekatan atau di jalan raya. Peringatan melalui hebahan radio dan televisyen juga boleh membantu untuk mendidik pemandu.
Strategi terbaik sudah tentu dengan tidak membina jalan raya di kawasan habitat hidupan liar.
SAHABAT ALAM MALAYSIA (SAM)
Georgetown, Pulau Pinang