Harga rumah masih mahal - Utusan Malaysia

Harga rumah masih mahal

Kerajaan diminta membina lebih banyak rumah mampu milik bagi menggalakkan golongan belia memiliki rumah sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DARI zaman Barisan Nasional (BN) memerintah ke Pakatan Harapan (PH) dan kini Perikatan Nasional (PN), banyak isu yang sering dibangkitkan oleh rakyat masih tidak dapat diselesaikan.

Contohnya, harga rumah masih sekadar ‘mampu lihat’ kerana terlalu tinggi. Keadaan ini amat memberi kesan kepada mereka yang sedang mencari kediaman sendiri.

Rata-rata golongan belia mampu membeli kediaman berharga antara RM250,000 hingga RM499,999 sedangkan pemaju menjual pada kadar RM500,000.

Walaupun banyak kali pemimpin menyuarakan akan membina lebih banyak rumah mampu milik, namun realitinya pemaju lebih gemar untuk membina projek perumahan berharga RM500,000 ke atas kerana yakin mendapat permintaan.

Sedangkan, masa ini pun banyak rumah yang tidak terjual, namun pemaju masih enggan menurunkan harga berdasarkan ekonomi majoriti belia.

Sekiranya mereka menurunkan sedikit harga, sudah pasti ramai yang berlumba-lumba untuk membeli sekali gus dapat menampung kos pembinaan dan membawa keuntungan kepada pemaju.

Ini tidak, dalam ketidakstabilan ekonomi dan politik, pemaju masih enggan membina rumah mampu milik dan sudah pastinya mustahil untuk seseorang membeli aset ekoran risau dengan ketidakketentuan masa depan, malah pandemik Covid-19 telah mengubah gaya hidup masyarakat.

Justeru, kerajaan perlu melihat dan meneliti pasaran perumahan dan menggalakkan pemaju untuk membina lebih banyak rumah mampu milik dengan memberi insentif terbaik buat mereka.

Melalui cara ini, lambakan rumah yang tidak terjual dapat diatasi dan pada masa sama, rumah mampu milik akan mendapat permintaan tinggi.

ISKANDAR
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya