Darurat masih relevan - Utusan Malaysia

Darurat masih relevan

Datuk Abdul Ghani Salleh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Disember ini sebagai tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Persoalannya, bolehkah PRK Batu Sapi dibatalkan? Jawapannya tidak boleh kerana Perlembagaan Persekutuan sudah menetapkan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas sesuatu kerusi kosong atas apa juga sebabnya.

Jadi, penduduk Batu Sapi perlu bersedia kerana PRK akan tetap diadakan atas amalan demokrasi berparlimen. Bersiap sedialah seadanya bagi mengelak dijangkiti virus berbahaya Covid-19.

Bersedia dan pandai-pandailah menjaga diri.

Saya dimaklumkan oleh rakan, SPR pun sukar mencari petugas untuk menjaga peti undi bagi PRK Batu Sapi. Entah betul atau tidak, tetapi ada benarnya kerana mungkin ramai tidak mahu mendedahkan diri mereka kepada ancaman virus berbahaya.

Selepas Batu Sapi, Sarawak pula perlu mengadakan pilihan raya negeri (PRN). Demokrasi bermakna PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak terpaksa diadakan kerana jika tidak, kita sudah melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, hadir cadangan agar prosedur operasi standard (SOP) bagi kedua-dua pilihan raya itu diperketatkan. Antaranya tiada kempen secara fizikal, tiada perhimpunan, tiada usaha meraih undi dari rumah ke rumah dan cuma boleh memasang bendera serta poster parti.

Bagaimana pula dengan pengundi di Batu Sapi dan Sarawak yang berada di luar kawasan seperti negeri-negeri lain di Semenanjung? Demi demokrasi, mereka juga perlu dibenarkan pulang mengundi.

Bolehkah dijamin mereka bebas Covid-19? Ada yang menjawab boleh, cuma wajibkan mereka menjalani ujian saringan dahulu. Jika negatif, barulah dibenarkan pulang mengundi.

Namun, timbul persoalan lain. Siapa perlu menanggung kos ujian saringan berkenaan yang bukannya murah, dikhabarkan RM300 paling minimum?

Bagaimana pula dengan kapasiti makmal untuk menganalisis ujian saringan kerana mereka yang mungkin pulang ke Sarawak untuk mengundi nanti bukan seorang dua. Dijangka mencecah ratusan ribu juga. Cukupkah makmal sedia ada untuk menganalisis ratusan ribu sampel dalam masa yang pendek, tiga atau empat hari?

Cara lain yang disarankan adalah undi pos. Jika ratusan ribu rakyat Sarawak yang tinggal di luar negeri itu dibenarkan mengundi melalui pos, saya hampir pasti ia akan mengundang kritikan, sama ada daripada pembangkang atau kumpulan yang kononnya memperjuangkan pilihan raya bersih.

Atas semua hujah di atas, saya yakin dan percaya itu adalah sebab utama Kabinet melalui mesyuarat khasnya sebelum ini menyarankan darurat. Saya juga bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak tidak dapat dielakkan walaupun pengundi berdepan risiko jangkitan pandemik Covid-19 jika tidak dilaksanakan perintah darurat.

Saya kasihankan Perdana Menteri kita, dikritik dan dilempar dengan bermacam-macam tuduhan sedangkan niat dan hasrat baiknya tidak pernah pun ditanya oleh sesiapa.

SYED NOH
Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya