SAUDARA PENGARANG,
BERBEZA dengan makhluk halus lain seperti bakteria dan parasit, virus tidak mampu dihapuskan oleh antibiotik.
Secara lahiriah, virus hanya bebenang asid amino yang membawa resipi bagi membentuk protein tertentu yang mengarahkan sel yang dijangkitinya untuk menghasilkan lebih banyak zarah virus bagi menjangkiti sel lain.
Sel ‘asing’ yang berlebihan ini akan cuba dihapuskan oleh sistem pertahanan badan kita demi kesejahteraan keseluruhan tubuh. Pertambahan sel berjangkit virus yang terlalu banyak, akan melemah dan memudarat tubuh ke tahap yang tidak mampu diselamatkan.
Walaupun secara strukturnya, virus tidak mampu wujud secara sendiri tanpa menjangkiti mana-mana sel hidup, namun keupayaan untuk meruntuhkan sistem pertahanan tubuh organisma yang jauh lebih kompleks daripadanya memang amat mengagumkan.
Terdapat beberapa virus berbahaya yang hidup bersama kita sejak sekian lama. Virus influenza, yang mengakibatkan antara 290,000 hingga 650,000 kematian setahun, disebar melalui udara daripada manusia kepada manusia.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus influenza bertanggungjawab menyebabkan empat pandemik yang direkodkan setakat ini, iaitu Spanish influenza pada 1918 (50 juta kematian), Asian influenza pada 1957 (dua juta kematian), Hong Kong influenza pada 1968 (sejuta kematian) dan H1N1 influenza pada 2009 (284,000 kematian).
Benar, ia bahaya; namun kita sudah pun hidup bersamanya untuk lebih seabad lamanya dan pasti akan terus hidup bersama virus influenza ini.
Dalam pada itu, demam denggi yang membunuh hampir 100 orang di Malaysia sehingga pertengahan tahun ini sahaja, turut disebabkan oleh si penjahat virus. Virus denggi yang disebar melalui vektor nyamuk Aedes ini turut merekodkan lebih 50,000 kes untuk tempoh masa sama.
Di penghujung 2019, seluruh dunia diperkenalkan dengan satu lagi spesies virus, iaitu si ratu korona (kerana permukaannya yang dipenuhi struktur seolah-olah mahkota) SARS-CoV-2. Dengan bentuknya yang anggun dengan cangkuk protein berbahaya di seluruh permukaan molekul yang menyimpan bebenang asid ribonukleik (RNA), virus ini merebak dengan begitu pantas.
Kelicikannya yang menular secara senyap dan keganasan menjahanamkan sistem kesihatan tubuh mereka yang sedia lemah dengan penyakit sedia ada seperti kencing manis, masalah buah pinggang dan kardiovaskular telah menyebabkan lebih sejuta kematian di seluruh dunia.
Benar, virus yang menyebabkan pandemik terkini kepada tamadun manusia ini juga bahaya dan harus ditangani sebaik mungkin. Namun, langkah utama seharusnya dengan memberi ruang kepada para penyelidik untuk ‘mengenali’ si penjahat itu dengan lebih dekat.
Untuk kita bersedia hidup bersama si ratu korona yang usia perkenalannya baru mencecah 10 bulan ini, kita perlu tahu lebih banyak maklumat lagi.
PROFESOR MADYA DR. NAHRIZUL ADIB KADRI
Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur