Berhutang untuk hidup mewah - Utusan Malaysia

Berhutang untuk hidup mewah

Pandemik Covid-19 mempengaruhi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGGUNAAN kad kredit dalam kalangan orang muda dilihat semakin meningkat susulan memenuhi kehendak gaya hidup moden dan mewah.

Malah, kemewahan dari segi kenderaan, telefon pintar, pakaian dan gaya hidup menjadi keutamaan mereka lebih-lebih lagi untuk ditonjolkan di media sosial.

Mereka menggunakan kemewahan itu untuk meletakkan diri mereka setanding rakan-rakan yang sememangnya dibesarkan dalam keluarga senang.

Ekoran terbawa-bawa dan tidak mahu dipandang rendah, golongan belia tidak berfikir panjang dengan memohon kad kredit yang akhirnya menyebabkan nama mereka disenaraihitam akibat kegagalan membayar semula pinjaman.

Lemah dalam merancang belanjawan menyebabkan mereka tidak cukup wang untuk kelangsungan hidup sementara menunggu mendapat gaji seterusnya.

Budaya meminjam daripada rakan-rakan juga menjadi amalan menyebabkan mereka bukan sahaja terbeban dengan hutang bank, malah dengan sahabat.

Bayangkan dapat sahaja gaji, mereka perlu membayar pinjaman tersebut dan hanya tinggal beberapa ratus untuk teruskan hidup.

Gaya hidup mewah yang ditonjolkan di laman sosial boleh menjadi ‘pembunuh’ kerana kita akan mudah terpengaruh, sekali gus teringin memiliki barangan yang ditayang menyebabkan seseorang perlu berbelanja di luar kemampuan.

Oleh itu, wajarlah mereka mengukur baju di badan sendiri dan jangan terikut-ikut dengan kemewahan rakan kerana akhirnya diri sendiri yang terbeban.

Tidak mengapa jika kita dipandang hina hanya kerana memakai pakaian tidak berjenama. Jangan risau jika ‘dipulau’ kerana tidak mempunyai telefon pintar versi terkini kerana akhirnya bukan mereka yang menentukan masa depan anda.

Pada usia muda begini, mereka patut memikirkan masa hadapan dengan membuat simpanan atau melabur membeli aset seperti rumah kerana harga hartanah akan sentiasa naik pada setiap tahun berbanding dilaburkan untuk kenderaan.

ZALIKA AHMAD
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya