SAUDARA PENGARANG,
DI sini saya memohon agar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibatalkan. Projek laluan kereta api ini perlu dihentikan kerana ia bukanlah keutamaan pada saat negara kita sedang menghadapi kemelut kesihatan dan sosioekonomi.
Pandemik Covid-19 benar-benar memberi kesan begitu mendalam kepada seluruh rakyat. Oleh itu, lebih baik peruntukan yang ada digunakan untuk membeli dan menghasilkan vaksin. Dana yang ada juga seharusnya digunakan untuk memulihkan ekonomi negara kita yang hampir merudum.
Peruntukan untuk projek ECRL boleh disalurkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baharu dan membantu industri mengekalkan perniagaan masing-masing.
Projek ECRL ini sebenarnya akan memungkinkan berlaku bencana alam. Ini kerana laluan itu melibatkan kawasan berbukit yang mudah terdedah kepada kejadian tanah runtuh dan banjir kilat.
Jadikan pembangunan secara besar-besaran di Kuala Lumpur sebagai iktibar. Di ibu kota, banjir kilat dengan paras kedalaman yang tinggi boleh berlaku setelah hujan beberapa minit sahaja.
Projek-projek mega lain boleh diteruskan seperti Transit Aliran Massa Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT 2) dan Lebuh Raya Pan Borneo.
Batalkan sahaja ECRL buat selama-lamanya kerana penduduk Pantai Timur tidak menginginkan projek ini berikutan kaedah pengangkutan sedia ada sudah memadai.
PRIHATIN PANTAI TIMUR
Maran, Pahang