SAUDARA PENGARANG,
SEDANG kita sibuk menghentikan penyebaran virus Covid-19, ada wabak lain yang tidak boleh dipandang enteng dan diabaikan iaitu pembuangan sisa pepejal.
Masalah pembuangan sisa pepejal kini meningkat secara mendadak akibat pandemik itu. Ia berpunca daripada sisa perubatan yang disebabkan oleh penggunaan pelitup muka, sarung tangan, peralatan perlindungan diri (PPE) dan kit ujian calitan.
Peralatan berkenaan memang diperlukan untuk memerangi virus itu tetapi sering dicemari selepas digunakan. Dari segi teknikal, pembuangan sisa perubatan secara tidak betul sangat berbahaya dan boleh menyebabkan penularan penyakit.
Menurut Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan (UNCED), sebanyak 5.2 juta individu (termasuk empat juta kanak-kanak) mati setiap tahun kerana penyakit berkaitan sisa perubatan.
Walaupun Kementerian Kesihatan memberi jaminan peningkatan pembuangan sisa perubatan di negara ini masih terkawal dan pihak yang ditugaskan menguruskan sisa terbabit mematuhi garis panduan sedia ada, bagaimana peranan kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab?
Adakah kita memandang serius mengenai pengurusan sisa berkenaan? Seperti yang dilaporkan oleh Persatuan Pengurusan Sisa Malaysia (WMAM), penjanaan sisa pepejal di kawasan kediaman meningkat 20 hingga 30 peratus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Malah, berikutan kerajaan mewajibkan penggunaan pelitup muka di kawasan sesak dan tempat tumpuan umum bagi menghentikan penyebaran virus, satu persoalan yang timbul, adakah masyarakat tahu cara yang betul untuk mengendalikan sisa pepejal tersebut? Terdapat segelintir masyarakat dilihat sesuka hati membuang pelitup muka secara sembarangan.
Cukup membimbangkan kerana pelitup muka yang tidak dapat dikitar semula akan berakhir di sungai dan lautan. Selain menimbulkan ancaman kesihatan kepada manusia, ia turut mencetuskan isu pencemaran sampah yang memudaratkan ekosistem dan spesies akuatik.
Ringkasnya, ledakan pesat dalam penggunaan produk tertentu saban hari untuk menjaga keselamatan orang ramai dan menghentikan penyebaran virus menjadikan keadaan tersebut jauh lebih berbahaya.
Trend ini akan berpanjangan untuk beberapa waktu. Jadi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mesti mengeluarkan garis panduan khusus mengenai bagaimana dan di mana pelitup muka harus dibuang agar rakyat tahu cara-cara menguruskan sampah ini.
Untuk mendapatkan perhatian masyarakat, gunakanlah media sosial bagi mempromosi garis panduan tersebut dengan kandungan dan gambar yang menarik. Ini akan memudahkan orang ramai memahaminya.
Seterusnya, sistem pengumpulan berpusat atau tong khas yang disertakan penutup hendaklah diletakkan di kawasan perumahan dan pejabat serta laluan strategik bagi mengurangkan risiko penyebaran jangkitan daripada pelitup muka terpakai.
Selain itu, orang ramai perlu digalakkan memilih pelitup muka yang boleh diguna semula, diperbuat daripada kain yang menepati standard ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
NURAFIFAH MOHAMMAD SUHAIMI
Pembantu penyelidik di EMIR Research