"Ada tak kena dengan jenazah yang kita bawa ni..." - Utusan Malaysia

“Ada tak kena dengan jenazah yang kita bawa ni…”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAH lama aku tak hantar jenazah jauh-jauh ni,” kata saya kepada Fakrul. Dia tidak menjawab malah sekadar tersenyum.
Itulah Fakrul, teman yang saya kenali hampir 10 tahun. Dia memang jenis tak banyak cakap. Kalau ada pun hanya yang penting-penting sahaja. Sebab itulah saya senang ke sana ke sini dengannya.
Namun itulah hakikatnya! Rasanya sudah hampir setahun lebih juga saya tidak menghantar jenazah keluar dari tempat saya bertugas, namun sejak Ismadi ditukarkan ke hospital lain, saya terpaksa mengambil alih tugasnya kerana sebelum ini kalau melibatkan kes luar kawasan, Ismadilah yang sering menghantarnya.
Hampir dua jam perjalanan, saya sudah merasa lesu. Maklumlah sudah lama tidak memandu jauh. Fakrul seringkali tergelak melihat gelagat saya yang seperti cacing kepanasan kerana sekejap mengengsot ke kiri, dan sekejap mengengsot ke kanan. Mulut pula tidak henti-henti menguap.
Biasanya masa bertugas di bilik jenazah tidak pula mengantuk sebegini. Mata boleh sahaja bertahan sampai pagi. Tapi apabila terkena angin malam memang cukup membuatkan mata saya menjadi layu.
“Ok ke bang?” tanya Fakrul sambil menoleh ke arah saya.
“Ishh.. boleh lagi, tapi kalau kena kopi panas-panas ni sedap juga. Mata pun dah berpasir rasanya ni,” balas saya.
Fakrul tersenyum sambil menghulurkan sebiji gula-gula kepada saya. Saya capai dan terus masuk ke mulut. Jalan raya ketika itu cukup lengang. Boleh dikatakan satu kilometer sekali baru berselisih dengan kenderaan lain.
Fakrul lantas bercerita namun otak saya sudah tidak berupaya untuk menangkap apa yang diperkatakan. Mata memang cukup mengantuk, kalau boleh mahu sahaja saya baring di sebelah jenazah di belakang.
Sampai di sebuah stesen minyak, saya berhenti untuk membeli minuman dan membasuh muka. Fakrul menawarkan diri untuk memandu. Tawarannya ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Tapi yang peliknya sebaik van bergerak mata pula terus segar. Puas saya cuba nak lelap namun tetap tidak mahu lena.
Malam semakin larut, suasana juga semakin dingin. Ketika melalui kawasan bukit di Gua Tempurung. Kabus-kabus tebal mula kelihatan. Persekitarananya juga sangat gelap dan sunyi. Namun ketika mendaki bukit itulah kami terasa van tersebut sangat berat sehinggakan enjin menderam kuat, padahal bukit tersebut tidaklah begitu tinggi.
Fakrul terpaksa menggunakan gear dua untuk melancarkan perjalanan ketika itu. Namun tanpa disangka tiba-tiba van yang kami naiki tersengguk-sengguk semput seperti sudah kehabisan minyak.
“Kenapa pula ni?” Tanya saya agak cemas.
Fakrul menggelengkan kepala. Saya lihat manik-manik peluh sudah terbit di dahinya. Tanpa disangka tiba-tiba enjin van terus mati. Saya dan Fakrul bergegas turun untuk memeriksa. Aduh! Waktu beginilah pula enjinnya nak mati, getus saya dalam hati.
Saya hilang idea. Hendak katakan van tersebut lama, tidak juga. Lagipun baru minggu lepas dihantar servis. Fakrul cuba menghidupkan enjin berkali-kali tetapi ia tetap tidak mahu hidup. Jam pula ketika itu sudah menunjukkan hampir 1 pagi.
“Apa kita nak buat ni?” Tanya saya kepada Fakrul.
Fakrul garu kepala. Katanya, mungkin enjin terlalu panas jadi terpaksa tunggu seketika untuk biarkan enjinnya sejuk. Lantas kami ambil keputusan menunggu di dalam kenderaan sahaja. Saya terus masuk ke dalam van semula manakala Fakrul pula menghisap rokok di luar.
Sebaik sahaja saya tutup pintu kenderaan tiba-tiba saya terdengar suara orang berdehem. Saya pasti suara tersebut datang dari arah belakang. Saya jenguk ke arah jenazah, namun tiada apa yang berlaku. Selang beberapa minit, saya terdengar lagi. Kali ini bunyinya lebih kuat. Saya diamkan diri sambil amati suara tersebut.
Memang sahih, suara berdehem itu memang datang dari arah jenazah, namun kali ini berselang seli pula dengan bunyi seperti orang sedang mengetuk dinding. Saya semakin cuak. Lantas saya buka pintu kenderaan dan memanggil Fakrul.
“Aku rasa ada yang tak kenalah dengan jenazah yang kita bawa ini..” kata saya.
“Dengar apa pula? Jangan macam-macam bang. Kita di tengah hutan ni,” balas Fakrul sedikit pucat.
Saya menceritakan apa yang berlaku. Namun belum pun habis saya bercerita tiba-tiba dengan tidak semena-mena terdengar pula bunyi seperti orang mengetuk belakang van. Kami berpandangan sama sendiri. Fakrul segera keluar dan meluru ke belakang kenderaan, namun tiada sesiapa pun di situ. Yang peliknya, sebaik sahaja Fakrul masuk ke dalam van, bunyi tersebut muncul kembali. Malah semakin kuat dan bertalu-talu.
Mulut kami berdua kumat-kamit membaca ayat suci al-Quran. Peluh sudah hampir membasahi tubuh. Kami tidak tahu apakah dugaan yang diterima ketika itu. Saya meminta Fakrul menghidupkan enjin van tetapi kondisinya tetap sama seperti tadi. Waktu itu saya cuma khuatirkan jenazah di belakang sahaja. Risau sekiranya terjadi sesuatu. Maklumlah berada di tengah-tengah hutan, macam-macam boleh berlaku.
Saya ternanti-nanti juga sekiranya ada kereta melalui kawasan itu, tetapi hampir 20 minit di situ, langsung tidak nampak satu kenderaan pun. Kami berdua semakin buntu, tidak tahu lagi apa yang perlu dilakukan.
Saya mengambil surah Yassin lalu membacanya. Hati saya merasakan seperti ada sesuatu yang mengganggu kami. Ketika itulah dengan tiba-tiba lampu di tempat duduk belakang bernyala dengan sendirinya.
Saya dan Fakrul membiarkan sahaja. Kami berdua meneruskan bacaan sehingga habis. Dengan lafaz bismillah Fakrul menghidupkan enjin van. Alhamdulillah, enjin van tersebut hidup, lantas kami segera meneruskan perjalanan.
Sebaik sahaja bergerak, van yang kami naiki terus berselisih dengan kenderaan yang bertali arus. Pelik! Fakrul memandang saya dengan dahi berkerut. Saya faham apa yang bermain di fikirannya ketika itu.
Perjalanan kami akhirnya selamat sampai ke destinasi. Kami tiba di rumah arwah lebih kurang pukul 3.30 pagi. Selesai menghantar jenazah, kami terus memandu pulang ke ibu kota. Sepanjang perjalanan, kami langsung tidak bercerita mengenai hal tersebut sehinggalah kami sampai ke hospital.
Setelah diselidik, rupanya di kawasan tersebut banyak berlakunya kemalangan maut. Namun saya tidak pasti apa yang mengganggu kami malam itu. Tetapi naluri hati saya kuat mengatakan perkara itu dilakukan oleh ‘makhluk’ yang berada di situ. Benarlah kata orang tua-tua syaitan memang suka mengganggu manusia, tambah pula jika kita berjalan jauh membawa jenazah melalui tempat-tempat ‘keras’.

NOTA: ‘Saya’ dalam kisah tersebut ialah seorang rakan yang bekerja membawa van jenazah di sebuah hospital di ibu kota. Identitinya terpaksa dirahsiakan kerana tidak mahu mencemarkan imej majikan dan keluarga si mati. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya