SAUDARA PENGARANG,
BUKAN perkara mudah bagi pemain bola sepak Malaysia untuk mendapat peluang beraksi di bumi Eropah apatah lagi berhadapan dengan saingan sengit pemain-pemain di sana.
Justeru, keberanian Safawi Rasid menyahut cabaran beraksi di kelab Portugal, Portimonense SC secara pinjaman selama semusim seharusnya mendapat sokongan para peminat bola sepak tanah air tanpa sebarang kecaman.
Namun, sudah menjadi lumrah apabila perkara yang boleh dibanggakan dan mampu menaikkan nama bola sepak negara dipertikaikan dengan komen-komen negatif.
Perkara seperti itu pernah terjadi kepada bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsuddin sebelum berkelana ke kelab KV Kortrijk, Belgium yang mana pemergiannya ke sana didakwa disebabkan bantuan pemilik kelab itu, Tan Sri Vincent Tan.
Malah Safawi turut terpalit situasi sama yang mana perpindahannya ke Portugal didakwa kerana bantuan Tuanku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan bukan kerana kelayakan dimiliki.
Tidak cukup itu, mereka berdua disifatkan sebagai tidak akan mampu bertahan lama atas beberapa faktor seperti pernah berlaku kepada pemain terdahulu yang pulang awal dengan kegagalan.
Bagi mereka yang pernah mengikuti perkembangan Luqman Hakim sebelum ini, tentunya aksi lincah pemain itu ketika membenam Australia 3-0 di Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-18 di Vietnam tahun lalu masih menjadi ingatan.
Aksi memukaunya di kejohanan tersebut adalah antara daya penarik yang membuka peluangnya menandatangani kontrak rasmi lima tahun bersama kelab Belgium berkenaan.
Sementara itu, persembahan konsisten Safawi di Kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama JDT pula telah diintip oleh pengurusan Kelab Portimonense SC. Menurut mereka, kemahiran teknikal serta kelajuan larian Safawi diyakini mampu membantu ramai pemain lain dan boleh bermain di posisi sayap serta depan.
Peminat bola sepak tempatan seharusnya berbangga kerana produk negara kini sudah mula beransur-ansur memasuki pasaran Eropah. Janganlah mudah menghukum. Berilah mereka peluang membuktikan kebolehan. Sokonglah mereka kerana hidup merantau seorang diri bukan perkara mudah.
Kepada Luqman dan Safawi, buktikan bahawa pilihan anda tepat. Sudah terlalu lama peminat menantikan wakil negara beraksi di peringkat antarabangsa khususnya di benua Eropah. Jangan kecewakan mereka lagi.
MOHD. SALLEH OSMAN
Presint 16, Putrajaya