SAUDARA PENGARANG,
KEMPEN derma darah masih diteruskan walaupun negara sedang dilanda pandemik Covid-19 ekoran stok bekalan darah di Pusat Darah Negara dan tabung darah di seluruh negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu difahamkan mengalami penurunan sebanyak 40 peratus berbanding dengan tahun sebelum ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkongsi jumlah kutipan darah sepanjang pelaksanaan PKP adalah hanya 60 peratus dan jumlah berkenaan dilihat semakin berkurangan ketika PKP Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu, iaitu sekitar 57 peratus.
Usaha tersebut bagi menyelamatkan nyawa seseorang dalam keadaan kecemasan. Kita tidak mahu situasi di mana pihak hospital gagal menyelamatkan nyawa seseorang ekoran tiada stok darah.
Bagi mencapai objektif itu, kempen kesedaran derma darah itu perlu diperluaskan secara kreatif bagi menarik minat golongan muda melalui pelbagai medium sama ada cetakan, radio, televisyen atau dalam talian.
Ini kerana kebanyakan orang muda takut untuk menderma darah kerana terpengaruh dengan kata-kata yang kononnya aktiviti itu boleh menambah berat badan tanpa mendapat pandangan dari pakar atau pegawai perubatan.
Justeru, amatlah wajar bagi pihak yang terlibat untuk melihat perkara ini secara holistik dan menggunakan landasan terbaik serta moden dalam mencapai sasaran jumlah penderma darah untuk tahun ini.
Dengan cara ini, golongan belia akan tertarik untuk turut sama menderma darah bagi membantu mereka yang memerlukan.
KAHDIR ISMAIL
Jerantut, Pahang