Trend ponteng sekolah makin menjadi-jadi - Utusan Malaysia

Trend ponteng sekolah makin menjadi-jadi

Paparan Whatsapp kebimbangan seorang guru di sebuah sekolah rendah di Klang, Selangor yang tular berhubung ketidakhadiran pelajar ke sekolah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TERDAPAT satu pesanan Whatsapp yang tular didakwa ditulis oleh seorang guru kepada ibu bapa yang dilihat memandang ringan kehadiran pelajar di sebuah sekolah rendah di Klang, Selangor.

Berdasarkan pesanan ringkas itu, jelas guru tersebut melahirkan kerisauan dengan ketidakhadiran murid ke sekolah kerana ia mengganggu proses pembelajaran.

Malah, pesanan ringkas itu turut tertulis pihak sekolah akan menjalin kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan terhadap murid berkenaan.

Tidak tahu kenapa ibu bapa bertindak sedemikian. Mungkin kerana takut anak-anak mereka dijangkiti virus Covid-19 yang jumlah kesnya meningkat saban hari.

Saya percaya, ibu bapa tidak akan sewenang-wenangnya ‘memontengkan’ anak mereka tanpa sebab tertentu. Sekiranya timbul rasa tidak puas hati terhadap pihak sekolah dari segi prosedur operasi standard (SOP) atau proses pembelajaran sepanjang pandemik ini, buatlah laporan pengetua sekolah atau kementerian.

Jangan disebabkan beberapa perkara, masa depan anak-anak diperjudikan. Kasihanilah anak-anak yang ingin menimba ilmu.

Ilmu yang diterima di sekolah tidak sama seperti di rumah. Berikanlah peluang untuk anak anda belajar di sekolah dan jangan membunuh semangat belajar mereka.

Sampai suatu masa nanti, jika murid ini sudah terbiasa ponteng sekolah, mereka tidak mahu lagi menyambung pengajian di mana jua peringkat dan akhirnya wujud masyarakat mundur tanpa ilmu.

Malah, dikhuatiri akan menjadi punca utama masalah sosial melibatkan pelajar sekolah seperti ketagihan menonton televisyen dan telefon, permainan video dan lebih teruk jika terlibat dengan kes jenayah.

Untuk mengatasi perkara ini, pembelajaran secara dalam talian mungkin inisiatif yang terbaik buat masa ini memandangkan ramai dalam kalangan ibu bapa melahirkan kerisauan ekoran kes penularan Covid-19 yang semakin meningkat. Cara ini membolehkan pelajar terus mendapat ilmu walaupun berada di rumah.

Perkara ini perlu dipandang serius oleh Kementerian Pendidikan, pihak sekolah dan ibu bapa dengan mencari kesepakatan dalam menyelesaikan isu ponteng kerana masa depan negara terletak di tangan anak-anak kecil ini.

ZAITON HASAN
Kuala Krai, Kelantan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya