Tolak kerjasama UMNO dengan DAP - Utusan Malaysia

Tolak kerjasama UMNO dengan DAP

BENARKAH parti yang dasar perjuangannya menjaga kepentingan bangsa dan agama sudah menjalin kerjasama dengan musuh utama? – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BEBERAPA hari selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lalu, kerjasama UMNO bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bergoncang.

Ini susulan dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau menerima sokongan kukuh dan meyakinkan daripada ahli-ahli Parlimen untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan.

Kemudian, kenyataan dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa parti itu sedia menarik diri daripada PN dan akan memberi syarat baharu jika Bersatu dan PN tidak mahu kehilangan sokongan ahli Parlimen parti ‘songkok hitam’ itu.

Tambah menarik, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad pula mendakwa, jumlah sokongan terhadap Anwar ialah sebanyak 122 orang membabitkan 30 ahli Parlimen UMNO, 39 (PKR), 42 (DAP) dan 11 (Amanah).

Andaikan ia benar, UMNO terpaksalah bekerjasama dengan DAP, iaitu sekutu paling kuat PKR dan Amanah dalam Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, kerjasama itu mungkin tidak menjadi kenyataan berdasarkan kenyataan terbaharu Ahmad bahawa UMNO konsisten dengan keputusan terdahulu tidak membentuk sebarang kerjasama politik dengan Anwar dan DAP.

Sebagai peringatan agar tidak berulang, adalah satu tragedi andai UMNO mengorbankan dasar perjuangan agama, bangsa dan tanah air (Abata) untuk menjalin kerjasama politik dengan DAP, musuh paling utama parti itu sejak sekian lama.

Secara peribadi, saya berpegang bahawa dalam apa keadaan sekali pun, biarlah hilang kuasa atau tidak lagi bersama mentadbir Malaysia dari Putrajaya. Ini kerana orang Melayu sama sekali tidak boleh menerima DAP.

Andai itu terjadi, maka akan tersurat ia sebagai pengkhianatan terbesar kepada bangsa sendiri. Pasti robek jiwa dan hati pendukung UMNO jika parti mereka dianggap tiada maruah kerana sanggup menyembah DAP, sanggup membiarkan kampung tergadai, asalkan sorak dimenangi.

Adakah begitu mudah untuk ahli UMNO dan orang Melayu melupakan ‘rukun’ dalam parti bahawa DAP itu adalah parti rasis dan cauvinis sejak zaman-berzaman? Apabila DAP ada kuasa di Putrajaya, hak dan kepentingan Melayu didakwa diketepikan.

Andai UMNO bekerjasama dengan DAP, maka tiada bezanya parti itu dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Anwar dan Mohamad Sabu yang sanggup bekerjasama dengan DAP demi kuasa.

Jika itu terjadi, segala pengorbanan untuk menggerakkan UMNO selama ini akan mengalir ke dalam longkang begitu sahaja. Segala usaha dan tenaga dicurahkan selama 22 bulan bagi menyingkirkan kerajaan PH yang terasnya ialah DAP menjadi sia-sia.

Ke mana mahu pemimpin kita menyorok, mengelak ludah kembali ke muka sedangkan semua tahu dan menyaksikan sendiri apa yang DAP lakukan kepada orang Melayu dan institusi bangsa kita selama 22 bulan kerajaan PH memegang tampuk kuasa.

Andai itu terjadi, UMNO pasti akan ditolak secara total oleh orang Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti. Hilang UMNO, Melayu masih boleh berharap kepada Pas atau Bersatu.

ZUKRI MOHD. YATIM
Bandar Sri Damansara, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya