SAUDARA PENGARANG,
KRISIS yang timbul akibat pandemik Covid-19 secara tidak langsung meningkatkan kadar penghasilan sampah.
Tidak kira sama ada sampah itu dibuang oleh penduduk awam atau mereka yang terlibat sebagai barisan hadapan, isu ini memang memerlukan perhatian khusus terutama sekali oleh pembuat dasar.
Sisa bioperubatan yang bercampur dengan sampah plastik dan sisa makanan jika tidak ditangani dengan baik akan menimbulkan masalah kesihatan dan keselamatan. Ini kerana sampah bioperubatan penuh dengan virus. Udara akan tercemar dan sungai juga tidak lagi selamat.
Kerjasama semua pihak sangat penting untuk meningkatkan tahap kesedaran orang ramai tentang kesan buruk sisa bioperubatan. Mereka perlu menyisihkan sampah bagi memudahkan pihak berwajib melupuskannya dengan cara yang lebih selamat, betul dan terjamin.
Berikutan langkah mewajibkan pemakaian pelitup muka oleh kerajaan, penggunaannya akan meningkat dari segi bilangan dan ini akan menambahkan lagi sisa bahan pakai buang yang akan dibuang di tempat pelupusan sampah.
Penyelesaian kreatif dan inovatif diperlukan untuk menghadapi cabaran pengurusan sampah bioperubatan termasuk tisu, kapas dan sarung tangan.
Pelbagai pihak perlu bekerjasama memikir dan mencari jalan penyelesaian dalam membantu pembuat dasar untuk menangani isu ini kerana terdapat kemungkinan besar pandemik ini akan berterusan.
DR. NOORITA MOHAMMAD
Pensyarah UiTM Cawangan Selangor