Tidak adil salahkan Muhyiddin sahaja - Utusan Malaysia

Tidak adil salahkan Muhyiddin sahaja

BANYAK pihak yang memberikan komen terhadap perutusan khas Muhyiddin Yassin mengenai situasi semasa Covid-19 pada 6 Oktober lalu. – FACEBOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEPERTI kebanyakan rakyat Malaysia yang lain, saya mengikuti perutusan khas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai situasi semasa Covid-19 yang disiarkan secara langsung pada 6 Oktober lalu. Saya juga mengikuti reaksi orang ramai, terutama komen-komen dalam media sosial.

Ada yang menyambut baik saranan dan nasihat Perdana Menteri. Ada juga yang sinikal serta memperlekehkan pengumuman tersebut. Ada sesetengah pengguna media sosial yang kurang selesa dengan kenyataan Perdana Menteri untuk ‘merotan’ mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Bagi saya, tiada apa pun yang lucu apabila Muhyiddin menyebut mengenai rotan ketika beliau menegaskan, hukuman akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat terhadap mana-mana individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Saya melihat itu adalah cara Perdana Menteri untuk menyampaikan perutusan kepada semua lapisan rakyat, termasuk menggunakan analogi yang mudah dan senang difahami supaya mesej sampai dengan berkesan. Rakyat kita bukan setakat golongan elit yang hidup di kota tetapi juga penduduk di luar bandar.

Saya secara peribadi terkesan dengan perutusan Perdana Menteri yang apabila didengar seperti satu rayuan tetapi masih dalam ketegasan, sesuai dengan keadaan semasa penularan kes Covid-19 di negara kita.

Muhyiddin turut mengakui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai antara punca penularan terkini kes Covid-19. Tidak berselindung atau mengunci mulut membiarkan isu itu berlalu begitu sahaja.

Mengikut Perlembagaan negara, PRN itu terpaksa diadakan selepas bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menasihatkan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengikut undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada pilihan kecuali mengadakan PRN berkenaan dalam tempoh 60 hari selepas menerima notis memaklumkan kekosongan DUN.

PRN itu boleh sahaja dielakkan andai Mohd. Shafie ketika itu mengaku beliau sudah tidak mendapat kepercayaan DUN, sekali gus akan membolehkan peralihan kuasa berjalan dengan aman seperti yang terjadi di Melaka dan Kedah pada awal tahun ini. Sebab itu, saya rasa tidak wajar Perdana Menteri dipersalahkan atas perbuatan orang lain.

Ada juga yang menuduh Majlis Keselamatan Negara (MKN) melonggarkan SOP untuk kempen PRN Sabah tetapi bagi saya, ia tuduhan tidak berasas kerana tiada pun kelonggaran sedemikian diberikan.

Sebaliknya dari semasa ke semasa, ada sahaja peringatan demi peringatan diberikan oleh pihak berwajib kepada penduduk Sabah dan jentera kempen pilihan raya supaya mematuhi SOP ditetapkan.

Saya tidak menafikan pemimpin politik perlu mengambil tanggungjawab dalam penularan jangkitan tetapi tidak wajar rasanya meletakkan tanggungjawab itu kepada menteri atau pemimpin kerajaan sahaja kerana kempen di Sabah juga dihadiri pembangkang.

Semua mesti tahu keutamaan kita, jangan buang masa untuk terus mencari kesalahan atau menuding jari.

MOHD. HIDAYAT SAMAD
Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya