SAUDARA PENGARANG,
BANYAK kes jenayah seperti kecurian, ragut dan rogol dapat diselesaikan oleh pihak polis setelah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan kediaman, ruang perniagaan, rumah ibadat dan pejabat.
Oleh yang demikian, diharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat memperbanyakkan pemasangan CCTV di setiap penjuru tempat tumpuan orang ramai. Dicadangkan semua taman perumahan dan kawasan kampung turut dipasang CCTV.
Inilah kaedah terbaik untuk mengurangkan jenayah di tempat-tempat awam kerana penjenayah akan berfikir banyak kali untuk melakukan jenayah kerana sedar gerak-geri mereka sentiasa diperhatikan.
Dalam pada itu, untuk menggalakkan orang ramai memasang CCTV di kawasan persendirian, semua peralatan tersebut perlu dikecualikan cukai dan dijual dengan harga yang mampu dibeli oleh penduduk.
Penurunan harga ini perlu ditumpukan kepada CCTV berkualiti tinggi menggunakan kamera beresolusi melebihi lima mega piksel. Banyak bukti CCTV sekarang adalah berkualiti rendah yang menyukarkan pakar forensik mengenal pasti penjenayah walaupun ada bukti lain dan saksi sokongan.
Kesimpulannya, pemasangan CCTV akan memberikan banyak manfaat kepada orang awam dan menyebabkan mereka berasa lebih selamat berbanding apabila berada di kawasan yang tiada peralatan berkenaan.
SYED ABDULLAH SYED OSMAN
Seremban, Negeri Sembilan