SIAPA artis tu? Tiba-tiba aplikasi WhatsApp saya dihujani soalan tersebut bermula Ahad lalu. Bukan setakat WhatsApp, dalam Instagram dan Facebook saya ada juga bertanyakan soalan yang sama, siapa artis itu? Saya tidak menjawab. Tak mahu layan sebenarnya. Hal-hal seperti ini laju saja hendak tahu.
Yang sudah bertahun-tahun tak bertanya khabar saya pun, tiba-tiba menghantar mesej sama bertanya, siapa artis itu? Rasa lucu pun ada. Dan yang ramai bertanya hal ini, tentulah orang lelaki.
Bab-bab ini bukan main lagi hendak tahu. Tak pernah pula mesej bertanya musabaqah agak-agak ada tak diadakan tahun depan sebab Covid-19? Atau berapa kes Covid-19 hari ini, tak sabar tunggu pengumuman Kementerian Kesihatan setiap petang, tapi pasal pelacuran membabitkan artis ramai betul berminat.
“Kena senaraikan artis yang terlibat. Kena umumlah. Nanti jatuh fitnah pula pada yang tidak terlibat,” kata seorang rakan sambil tersengih. Lelaki juga. Saya diam saja. Sebenarnya dia sendiri yang hendak tahu tu, kata saya dalam hati.
Ahad lalu, wartawan Mingguan Malaysia, Siti Athirah Dzulkifly mendedahkan tentang pelacuran dalam kalangan artis. Berita itu disiarkan muka depan akhbar ini yang bertajuk- Skandal seks artis – Raih RM30,000 hingga RM40,000 dalam satu malam.
Pada saya, soalan yang lebih tepat kenapa jadi begitu? Bukan siapa artis itu?
Memang betul, bila melayari akaun laman sosial artis terutamanya Instagram, ada yang menunjukkan kekayaan luar biasa. Beli baju, kasut atau beg tangan jenama mahal, berharga puluhan ribu ringgit. Bukan setakat itu, bergambar dengan kereta mewah dan rumah besar bagaikan istana
Tetapi kebanyakannya jika tidak diberitahu bahawa yang bermewahan-mewahan itu rupanya seorang artis, kita pun tidak kenal. Memanglah, ramai saja boleh bergaya mengalahkan artis. Itu yang sering kita keliru. Artis ke ni? Selalunya soalan yang akan keluar, pelakon atau penyanyi ni? Kaya sangat. Meniaga produk apa boleh kaya sangat ini?
Tetapi persoalan itu selalu habis di situ sajalah. Rezeki masing-masing. Banyak lagi perkara penting hendak difikirkan. Kenapa hendak sibuk kira duit atau kekayaan orang lain. Betul?
Pun begitu yang tidak patutnya dalam isu ini, segelintir kecil saja artis yang terbabit menjual maruah diri, habis pula imej artis lain terpalit buruknya.
Sedangkan ramai yang lain itu bersungguh-sungguh berjuang dalam bidang seni ini kerana minat, berbakat besar dan pada masa sama menjadikan ia punca pendapatan. Tetapi itulah, segelintir lain pula yang lakonan dan nyanyian tidak seberapa, paras rupa pun tidak seberapa dan harap seksi saja menjadikan ia platform untuk menarik perhatian VVIP mencari duit mudah dan hendak hidup senang. Bila namanya ‘artis’ yang buat, habis semua terbabit sama.
Hakikatnya, ramai artis negara ini yang menjaga moralnya dan dihormati. Kaya bukan dengan cara menjual maruah diri. Ramai yang berbakat. Mereka ini serius bergiat dalam seni. Ada yang berasal dari keluarga susah tetapi boleh hidup mewah bila berkecimpung dalam industri ini kerana usaha dan bakat.
Pandemik Covid-19 tidak boleh dijadikan ‘kambing hitam’ alasan untuk melacur kerana tidak dapat tawaran berlakon atau menyanyi. Ramai turut terjejas pendapatannya bukan artis saja. Tetapi itulah jangan singgah dalam industri seni ini hanya untuk dapat duit mudah cara ini, ia akan menjahanamkan industri itu. Dan jika benar pelacuran dalam kalangan artis ada sejak dulu lagi, perlukah ia dijadikan kegiatan `turun temurun’? Sampai bila industri ini berterusan dianggap kotor?
Dan boleh pakai lagikah, ayat mahu menjadi diri sendiri dan tidak mahu berpura-pura sebab itu berpakaian seksi dan buat sesuka hati. Industri seni tak sepatutnya dirosakkan dengan perangai sebegini. – Mingguan Malaysia
Siapa artis tu?
- Oleh Fauziah Md Arof
- 25 Oktober 2020, 10:00 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Perginya seorang bintang tari disegani
19 Disember 2024, 8:00 am
Pendidikan STEM bukan sekadar agenda pendidikan
19 Disember 2024, 8:00 am
Adendum Najib bukan bahan ujikaji perundangan
17 Disember 2024, 9:00 am