SAUDARA PENGARANG,
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba baru-baru ini menyifatkan sikap leka dan alpa rakyat dalam menjalani norma baharu kehidupan adalah antara punca peningkatan wabak Covid-19 di negara ini.
Kenyataan itu ada benarnya apabila rakyat nampaknya selesa menjalani rutin seharian tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Walaupun mereka telah membudayakan pemakaian pelitup muka di tempat awam, namun masih tiada penjarakan sosial terutama di pusat beli-belah, pasar raya, kedai makan dan ketika menghadiri majlis seperti kenduri kahwin.
Hendak salahkan kerajaan atas alasan tidak tegas melaksanakan penguatkuasaan adalah tidak wajar kerana ia lebih kepada kawalan kendiri seseorang.
Sepatutnya mereka yang tiada urusan tidak perlu bersesak ke pusat beli-belah buat masa ini. Ini tidak, pusat beli-belah sentiasa penuh hingga menyebabkan mereka terlepas pandang mengenai pematuhan SOP.
Semoga peningkatan kes Covid-19 menjadi pengajaran kepada kita semua untuk sentiasa mengamalkan SOP dan kebersihan diri seperti yang disarankan kerajaan.
Jika berjalan dan terserempak mereka yang mengabaikan SOP, maka tegur dan nasihat dengan cara yang baik dan pada masa sama, setiap individu perlu sentiasa peka dengan suasana sekeliling agar dapat menjauhkan diri daripada pandemik ini.
Mari lawan bersama-sama pandemik ini sehingga kemenangan menjadi milik kita. #kitajagakita
SAIFUL BADRI
Putrajaya