SAUDARA PENGARANG,
baru-baru ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara dengan dakwaan mempersembahkan dokumen sahih Akuan Bersumpah (SD) mengenai jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya bagi menubuhkan kerajaan baharu. UMNO pula dalam kenyataannya meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta kemunculan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dilihat keluar dari pintu istana menambahkan lagi polemik politik negara.
Melihat kepada situasi ini, tidak mustahil negara akan berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya PN tidak berjaya menarik UMNO untuk menyokong parti tersebut.
Dalam keadaan pandemik Covid-19 yang tidak memberi tanda untuk pulih, ketidakstabilan politik menyebabkan rakyat semakin risau lebih-lebih lagi jika tiada pelabur yang berminat untuk membuat kerjasama dengan negara.
Akibat kerakusan berebut kerusi nombor satu negara itu, bukan sahaja negara boleh tergadai malah kesihatan rakyat juga diabaikan.
Tindakan sesetengah ahli politik yang gila kuasa menyebabkan rakyat mengambil tindakan tidak mempeduli malah turut mempertikaikan tindakan mereka yang masih tidak terkesan dengan peningkatan jumlah kes Covid-19.
Dalam isu ini, PRU-15 merupakan jalan terakhir tetapi biarlah dibuat selepas pandemik Covid-19 berakhir. Kasihanilah barisan hadapan yang kepenatan dan tidak cukup rehat. Kasihanilah juga mereka yang kehilangan pekerjaan.
Jangan disebabkan politik dan perebutan kuasa menyebabkan mereka terlupa tanggungjawab sebagai pemimpin adalah untuk berbakti kepada rakyat.
Cukuplah buat masa ini. Biarlah Tan Sri Muhyiddin Yassin memimpin negara sehingga Malaysia pulih daripada Covid-19. Selepas itu, jika mahu PRU-15, rakyat akan menyokong dengan keluar mengundi.
NASARUDIN
Kuala Lumpur