SAUDARA PENGARANG,
APABILA seorang ahli politik ‘menerbitkan’ drama sensasi dengan mengisytiharkan keruntuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika jumlah jangkitan Covid-19 kian meningkat, ia memberi impak negatif kepada ekonomi.
Satu persoalan yang timbul, bolehkah seseorang mengumumkan kejatuhan pemerintahan yang tidak dipimpinnya?
Pada hari sama, Bursa Malaysia hilang semua keuntungan hari sebelumnya berikutan ketidaktentuan politik telah menimbulkan kerisauan pelabur.
Indeks penanda aras Bursa Malaysia, FBM KLCI mencatatkan kejatuhan 9.3 mata pada hari berkenaan, mengakibatkan RM12.01 bilion lenyap dari pasaran.
Pada hari pengumuman itu juga, jumlah jangkitan harian Covid-19 kembali ke angka tiga digit iaitu 147 dengan tiga kematian baharu.
Kenapa pilih saat yang sangat mencabar bagi negara untuk membuat pengumuman mengejut itu?
Kita berharap pengumuman sedemikian tidak dibuat semata-mata kerana pemimpin berkenaan termakan dengan provokasi pihak lain supaya beliau membuktikan mempunyai ahli Parlimen mencukupi untuk menawan Putrajaya.
Langkahnya bukan satu strategi politik yang bijak jika beliau tidak dapat membuktikan dakwaannya.
Adakah semua kejadian ini benar-benar berlaku?
JAMARI MOHTAR
Pengarah media dan komunikasi