Petugas tol sedia bantu pelanggan - Utusan Malaysia

Petugas tol sedia bantu pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MERUJUK kepada surat pembaca bertajuk Kembalikan semula lorong tambah nilai di plaza tol yang disiarkan dalam Forum Utusan Malaysia pada 9 Oktober lalu.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengucapkan terima kasih kepada penulis yang memberikan pandangannya terhadap penutupan lorong tambah nilai di plaza tol. PLUS juga mengucapkan terima kasih kepada Utusan Malaysia kerana memberi peluang kepada kami untuk menjelaskan kekeliruan yang timbul serta rasional di sebalik penutupan lorong berkenaan.

Pada ketika ini, lebih 98 peratus pelanggan yang melalui plaza tol PLUS berjaya memastikan baki yang mencukupi untuk melengkapkan transaksi tol. Berdasarkan rekod dan statistik kami, hanya purata 1.8 peratus daripada keseluruhan pelanggan yang melakukan transaksi tol tidak mempunyai baki yang cukup dalam kad Touch ‘n Go mereka.

Bagaimanapun, kami sedar peratusan yang kecil tersebut tidak akan mencecah kosong peratus kerana kadangkala ia berlaku kerana pelanggan mungkin terlupa untuk menambah nilai atau sebab-sebab lain yang tidak dapat dielakkan.

PLUS juga memahami kesukaran yang dihadapi oleh sesetengah pelanggan untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka apabila tiada lagi lorong tambah nilai disediakan di plaza-plaza tol.

Justeru, bagi membantu orang ramai khususnya warga emas, wanita hamil dan orang kurang upaya (OKU) yang tidak mempunyai baki mencukupi untuk melengkapkan transaksi tol, PLUS menasihatkan mereka agar mendapatkan bantuan daripada petugas khidmat pelanggan (CSA) yang berada di lorong tol dengan menekan butang interkom yang disediakan.

Namun begitu, PLUS menasihatkan agar pelanggan memberikan kerjasama dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam iaitu memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal satu meter ketika berinteraksi atau berhadapan dengan CSA untuk mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan petugas tol mahupun pelanggan lebuh raya.

PLUS juga ingin menjelaskan, pada ketika ini, terdapat lebih 11,000 pusat menambah nilai disediakan di seluruh negara merangkumi stesen minyak, mesin juruwang automatik (ATM), kiosk, kedai serbaneka serta kawasan rehat dan rawat (R&R).

Oleh yang demikian, PLUS menasihatkan pelanggan supaya memastikan mereka telah membuat tambah nilai secukupnya untuk perjalanan masing-masing. Mereka boleh berbuat demikian menerusi SmartTAG atau aplikasi Touch ‘n Go.

Bersamalah kita memainkan peranan masing-masing dalam memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak bertepatan dengan slogan #KitaJagaKita.

SYED MOHAMMED IDID
Ketua Perhubungan Korporat, Komuniti & Awam PLUS Malaysia Berhad

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN