SAUDARA PENGARANG,
COVID-19 berjaya mencetus satu fenomena. Pandemik itu sudah meragut hampir sejuta nyawa manusia dan lebih 34 juta lagi sudah dijangkitinya. Virus ini masih bermaharajalela di seluruh dunia dan hingga kini belum ada tanda-tanda akan reda.
Penularan sukar dikawal kerana ia boleh berlaku di mana sahsja tanpa mengira tempat dan masa. Covid-19 tidak mengenal bangsa dan rupa, begitu juga pangkat atau kedudukan.
Dalam usaha untuk mengawal pandemik ini, petugas kesihatan tentunya memainkan peranan utama. Cuma kadang kala kita mudah lupa, mereka juga berdepan bahaya sama.
Setiap hari mereka menyabung nyawa demi memastikan kehidupan kita semua kekal terpelihara.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, antara Februari hingga September lalu, terdapat lebih 600 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19. Seramai 406 ialah kakitangan hospital kerajaan manakala baki daripada hospital swasta dan hospital universiti.
Diskriminasi terhadap mereka tidak harus berlaku. Stigma yang berterusan pastinya akan memburukkan keadaan. Mereka amat perlukan sokongan, bukannya penghinaan yang tiada batasan.
Pastikan semua petugas kesihatan kita mendapat pembelaan sewajarnya daripada pakaian keselamatan mencukupi hingga kepada penyediaan khidmat psikososial dan sokongan emosi. Itu semua sebenarnya adalah satu keperluan, bukannya kehendak atau kemewahan yang berlebihan.
Titipkan doa setiap hari agar mereka dan keluarga sentiasa diberkati. Lindungilah petugas kesihatan daripada segala kemudaratan.
DR. WAN MOHD. RUSHIDI WAN MAHMUD
Pakar Perunding Psikiatri & Psikologi,
Kedah Medical Centre