SAUDARA PENGARANG,
krisis air yang dihadapi penduduk di sekitar Semenyih sudah berlanjutan sejak lebih 10 tahun lalu.
Pada awal krisis dahulu, kami terpaksa membentuk sebuah jawatan kuasa bertindak untuk mengatasinya.
Hampir setiap hari selama lima tahun, masalah bekalan air berlaku di lebih 30 lokasi di kawasan itu.
Kami mengetahui kelemahan dan juga cara mengatasinya tetapi ia tidak ditangani dengan sebaiknya.
Sebagai contoh, sebuah kilang yang mencemari Sungai Semenyih pada 2016 telah disita atas arahan Menteri Besar Selangor ketika itu. Namun, sehingga ke hari ini pengusaha kilang itu masih belum didakwa di mahkamah.
Dengan apa yang berlaku, tidak menghairankan apabila kilang-kilang mahupun orang perseorangan masih berani mencemari sungai.
Justeru, tindakan tegas perlu segera diambil kerana ia melibatkan kesihatan awam. Jangan beri muka kepada pemilik kilang tersebut kerana penduduk sudah sengsara dan ‘penat’ dengan perkara yang berlaku tanpa kesudahan ini.
PENDUDUK SEMENYIH
Selangor