SAUDARA PENGARANG,
MASALAH air di kawasan perumahan Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor nampaknya tiada kesudahan sejak 1996.
Masalah semakin teruk dalam tempoh dua tahun ini apabila penduduk kerap terputus bekalan air secara tiba-tiba tanpa notis.
Setiap kali panggilan dibuat kepada Pengurusan Air Selangor, kami diberikan jawapan masalah tekanan air rendah atau paip pecah dan mengambil sedikit masa untuk bekalan pulih.
Kini kita berada di 2020 dan bermakna 24 tahun masalah bekalan air masih berlarutan. Justeru, alasan sama yang diberikan oleh Pengurusan Air Selangor boleh dianggap basi.
Kami dapati beberapa kali penambahbaikan dibuat dengan menggantikan saluran dan menyelesaikan masalah di rumah pam, namun masih berlaku masalah bekalan air. Bahkan semasa aduan ini dibuat, kerja-kerja pembaikan di bawah projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 oleh kontraktor yang dilantik sedang dilakukan di Persiaran Suasana.
Kerja-kerja yang dijangka mengambil masa tiga bulan itu diharap dapat mengatasi masalah dihadapi penduduk.
Kami berharap masalah bekalan air di kawasan ini dapat segera diatasi memandangkan jumlah penduduk semakin meningkat dengan bertambahnya projek perumahan.
Mohd. Ariffudin
Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor