SAUDARA PENGARANG,
BUKAN kali pertama aduan ini dibuat, namun nampaknya pengguna jalan raya masih lagi tidak mengendahkan peraturan dengan membuat pusingan U secara haram untuk ke Taman Nirwana dan Ampang sehingga mengganggu kenderaan dari arah bertentangan.
Walaupun tindakan memasang batu penghalang dibuat, namun pengguna Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) masih berdegil dengan membuat pusingan U di kawasan berdekatan Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur.
Keadaan itu bukan saja mengakibatkan laluan berkenaan sesak terutama pada waktu puncak, malah membahayakan keselamatan pengguna lain. Kemalangan kecil sering berlaku membabitkan motosikal.
Di laluan sama juga, pengguna memandu dalam keadaan laju menyebabkan sukar bagi penduduk untuk memasuki lorong ke kawasan perumahan.
Sewajarnya Majlis Perbandaraan Ampang Jaya (MPAJ) membina bonggol bagi membolehkan penduduk lebih mudah untuk keluar dan masuk.
Selain itu, kawasan tersebut kini banyak dihuni oleh warga Indonesia, maka undang-undang seperti mewajibkan pemakaian topi keledar untuk penunggang motosikal seperti dipandang sebelah mata. Bukan sahaja mereka melanggar peraturan tersebut, malah membenarkan anak-anak di bawah umur menunggang motosikal ke jalan utama.
ALIF SHAH
Kampung Pandan, Kuala Lumpur