SAUDARA PENGARANG,
STESEN Kereta Api Kuala Lumpur terletak di bangunan lama yang dibina pada 1910 sebagai hab bagi perkhidmatan Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan kemudiannya Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Sejak wujud Stesen KL Sentral, bangunan itu tidak lagi menjadi hab utama perkhidmatan kereta api tetapi masih menjadi hentian kargo, komuter dan perkhidmatan tren elektrik (ETS).
Bangunan itu juga masih lagi menjadi tarikan pelancong kerana diinspirasikan seni bina Moor yang dianggap antara paling cantik di Malaysia. Kewujudan menara dengan kubah-kubah kecil seolah-olah mengambarkan ia terletak di bandar raya yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Walaupun bangunan lama, kerja-kerja penyelenggaraan perlu sentiasa dilakukan supaya stesen berkenaan berada dalam keadaan baik. Kunjungan saya ke stesen itu baru-baru ini mendapati banyak penambahbaikan yang perlu dibuat.
Terowong bawah tanah berada dalam keadaan yang menyedihkan dengan cahaya lampu yang malap. Elok dilukis mural pada dinding terowong dan dinding dalam bangunan seperti yang banyak dibuat di Pulau Pinang sebagai tarikan baharu pelancong.
Papan tanda platform juga masih tidak mencukupi sehingga ada penumpang keliru tentang platform mana harus dituju.
MINAH KARAN
Gombak, Selangor