SAUDARA PENGARANG,
KETIKA menonton televisyen sambil menghirup kopi dengan seorang penjawat awam baru-baru ini, tersentak seketika apabila sahabat saya itu tiba-tiba meninggikan suaranya. Dia ternyata muak dengan senario politik Malaysia sekarang.
Waktu itu, televisyen melaporkan tentang tindakan seorang presiden parti mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau sudah bersedia menjadi Perdana Menteri. Ini bererti Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedia ada bakal digulingkan.
Dalam pada itu, ramai yang menyebut, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan menoktahkan segala kemelut politik masa kini. Namun jika direnung kembali, adakah teori itu tepat jika orang Melayu masih gagal membentuk hegemoni (penguasaan) politik terbesar dan terkuat seperti sebelum ini?
Detik permulaan kepada keretakan hegemoni orang Melayu bermula ketika gelombang reformasi pada 1998. Ia bertambah rumit dan parah sejak berakhirnya PRU-14 kerana orang Melayu makin berpecah.
Apa bukti orang Melayu berpecah? Cukup sekadar kita congak, berapa jumlah parti politik yang orang Melayu ada? Jika hendak mewujudkan keadaan politik stabil, hanya perlu ada satu parti Melayu yang dominan.
Walaupun PRU-15 berakhir sekali pun, keadaan seperti sekarang tetap akan berlarutan. Malah, ia akan diburukkan lagi sekiranya wujud ‘jualan lelong’ antara parti-parti kaya yang ada dalam Dewan Rakyat.
Siapa boleh memberi jaminan selepas PRU-15 selesai, maka tiada lagi adegan lompat-melompat parti? Inilah yang membuatkan majoriti masyarakat menjadi muak. Bukan mereka tidak suka politik, namun sesetengah keadaan politik telah mengheret mereka untuk berasa ‘loya’.
Akhirnya, pengundi tiada banyak pilihan kecuali memilih mengikut keperibadian calon, bukan lagi sentimen kepartian, manifesto atau kuasa hegemoni. Ini tidak terpakai kepada mereka yang sudah menjadi ahli kepada mana-mana parti politik dan setia terhadapnya.
Andai perkara ini berlaku, ia malapetaka buat negara kita. Kerajaan yang bakal ditubuhkan tidak lagi kuat seperti sebelum 1998 dahulu. Kita semua tahu, jika kerajaan tidak kuat, tiada kuasa dua pertiga dalam Parlimen maka hala tuju pemerintah akan kucar-kacir.
Justeru, apa yang perlu dibuat? Gencatan politik serta-merta! Ya, itulah sahaja cara yang paling digemari masyarakat kebanyakan pada waktu ini. Kehidupan rakyat yang serba-serbi tidak keruan sekarang akibat pandemik Covid-19 lebih genting berbanding cuba menunjukkan siapa lebih berkuasa dalam arena politik.
Masing-masing mempunyai survival sendiri. Namun, bagi mereka yang mahir menyusun strategi, sudah tentu akan mengutamakan survival rakyat terlebih dahulu berbanding survival politik.
SARFARIZMAL SAAD
Putrajaya