SAUDARA PENGARANG,
MELIHAT kepada situasi pandemik Covid-19 yang belum reda, kerajaan melalui Kementerian Kewangan perlu mengambil langkah dan pendekatan proaktif bagi membantu ekonomi rakyat.
Inisiatif moratorium pinjaman kewangan secara automatik adalah langkah terbaik dan seharusnya dilaksanakan semula sehingga Mac 2021.
Langkah ini akan dapat membantu rakyat berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) serta peniaga yang menghadapi kemelesetan ekonomi. Ia juga akan dapat membantu belia yang masih belum mendapat pekerjaan dan golongan muda yang baru mahu memulakan perniagaan.
Laporan suku kedua dari April hingga Jun tahun ini menunjukkan bank-bank yang menawarkan moratorium masih mampu mencatat keuntungan. Ini membuktikan sektor perbankan tiada masalah untuk melanjutkan tawaran moratorium itu.
Jika lanjutan moratorium secara automatik tidak boleh diberikan kepada semua rakyat, ia boleh dilaksanakan kepada peminjam bagi kategori penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN), pinjaman di bawah nilai tertentu, pinjaman kenderaan dan individu yang hilang kerja sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kerajaan juga harus memperkenalkan kaedah pantas dengan kos lebih rendah kepada syarikat kecil untuk menstruktur semula hutang mereka atau menutup perniagaan.
SYED OSMAN MOHAMED
Kuala Lumpur