SAUDARA PENGARANG,
ISU benih padi tidak berkualiti yang disediakan oleh syarikat-syarikat pembekal menyebabkan hasil beras negara merosot kira-kira 300,000 tan metrik setahun. Kerugian para pesawah pula dianggarkan mencecah sehingga RM300 juta.
Malah, kebergantungan Malaysia kepada negara luar menyebabkan kelebihan kita yang memiliki varieti padi berkualiti seolah-olah tidak dipandang sedangkan Institut Penyelidikan & Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menghasilkan banyak varieti padi yang sesuai dengan cuaca, suhu dan tanah di negara ini.
Malah, padi-padi yang dihasilkan jauh lebih baik dan mampu menyaingi padi dari negara luar.
Apa fungsi penyelidikan yang dilakukan oleh agensi tersebut sekiranya kita tidak menggunakan kelebihan itu sedangkan jika diikutkan dari segi kos adalah jauh lebih murah dan membolehkan pesawah memperoleh keuntungan berlipat kali ganda?
Justeru, Kementerian Pertanian perlu melihat perkara ini secara holistik dengan menekankan kelebihan verieti padi tempatan, sekali gus dapat mengelak manipulasi harga benih padi dari luar negara.
Pada masa sama, bekalan beras dapat dikekalkan sepanjang tahun tanpa sekatan atau kekurangan sumber.
ADRA MOHAMMAD
Perlis