SAUDARA PENGARANG,
TANGGAL 13 Oktober lalu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan apa yang didakwanya sokongan majoriti ahli Parlimen untuk beliau menjadi Perdana Menteri.
Hari yang sama, sebanyak 660 kes baharu Covid-19 bersama empat kematian dilaporkan. Kini, hampir semua negeri sudah ada penularan jangkitan dan buat masa ini, kes-kes baharu belum menunjukkan tanda-tanda akan berkurangan.
Namun, beberapa hari lebih awal, sejurus Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu membuat pengumuman mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang, terus pasaran saham jatuh.
Bercakap pasal pasaran saham, saya ada terbaca, bursa tempatan susut 0.7 peratus pada penutup tengah hari sejurus Anwar mendakwa mendapat majoriti cukup kukuh ahli Parlimen, seterusnya membuka laluan untuk menjadi Perdana Menteri kesembilan.
Ia disusuli kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bahawa pengumuman oleh Pengerusi PH itu menyebabkan Bursa Malaysia mengalami kerugian. Kemudian, Timbalan Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim dilaporkan berkata, tindakan Anwar itu menyebabkan kesan yang tidak sepatutnya kepada ekonomi negara.
Itulah serba sedikit kesannya sejak Anwar membuat pengumuman mendapat sokongan di Dewan Rakyat, melebihi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pelabur-pelabur tentunya gelisah kerana perubahan kerajaan bukan perkara kecil, sebaliknya hadir bersama pelbagai impak. Ia turut menjejaskan pelaburan langsung asing (FDI) kerana pelabur-pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat.
Adakah situasi sedemikian yang diharapkan rakyat dalam keadaan ekonomi negara terkesan teruk akibat krisis Covid-19? Tambahan pula negara kita mengamalkan ekonomi terbuka dan amat bergantung kepada FDI.
Adakah sekarang waktu yang sesuai untuk menukar kerajaan dan apakah kepastiannya andai ada Perdana Menteri baharu mewakili gagasan parti politik lain daripada gabungan sekarang, semua masalah boleh diselesaikan?
Dalam jangka masa pendek, kemelut politik akan menjejaskan ekonomi negara, namun andai berterusan dan tiada penyelesaian, ia akan menjejaskan bukan sahaja prestasi dan keyakinan pelabur tetapi juga akan membantutkan usaha pemulihan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
Sebenarnya, bukan rahsia Presiden PKR mahu menyelesaikan misinya untuk berada di hierarki tertinggi di Putrajaya, jawatan yang beliau dan penyokong berasa sudah lama harus menjadi miliknya, tetapi dikekang oleh apa yang didakwa mereka sebagai ‘konspirasi politik’ direncana pendengki.
Namun, siapa yang berani memberikan kepastian Anwar boleh menyelesaikan masalah dan isu yang sedang dihadapi negara ketika ini, terutama krisis ekonomi?
Saya teringat satu hadis riwayat al-Bukhari yang menceritakan kisah Rasulullah SAW pernah menegur dua lelaki yang meminta daripada baginda supaya mereka diberikan kuasa sebagai pemimpin dengan bersabda:
“Kami tidak memberikan urusan kepimpinan ini kepada siapa yang memintanya, kami juga tidak berikan kepimpinan buat mereka yang terlalu bersungguh mendapatkannya.”
MOHD. ZULKIFLI AIMAN
Teluk Intan, Perak