SAUDARA PENGARANG,
SEJAK perkhidmatan tambah nilai di hampir semua plaza tol ditamatkan, ramai pengguna lebuh raya mengeluh apabila baki kad Touch n Go tidak mencukupi.
Saya pernah melalui kesulitan apabila panggilan kepada pegawai bertugas melalui interkom tidak disahut. Ini menyebabkan saya terpaksa berjalan kaki melintasi laluan tol yang sesak ke pejabat konsesi lebuh raya.
Walaupun beberapa plaza tol ada meletakkan mesin tambah nilai layan diri, namun kadangkala wang kertas tidak diterima.
Adalah lebih wajar untuk mewujudkan kembali sekurang-kurangnya satu laluan tambah nilai di setiap plaza tol bagi mengelakkan kesesakan.
Sebagai rakyat yang prihatin, saya memahami langkah untuk memansuhkan laluan tambah nilai itu bertujuan mengurangkan kos operasi. Bagaimanapun, kemudahan yang diberikan kepada pengguna masih lagi belum 100 peratus efisien. Justeru, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan.
Mengapa tidak kita mencontohi negara jiran, Singapura yang membenarkan kenderaan melalui tol tanpa sekatan walaupun kekurangan baki dan apabila mereka menambah nilai, jumlah yang digunapakai ditolak secara automatik.
Cumanya, kerajaan perlu membuat kajian lanjut untuk mengelakkan pengguna daripada culas menambah kredit kad tambah nilai seperti larangan ke luar negara.
FATIN
Klang, Selangor