Kemalangan tidak patut berlaku - Utusan Malaysia

Kemalangan tidak patut berlaku

TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim (dua dari kiri) melihat sekitar kawasan kejadian tembok konkrit yang jatuh di Kuala Lumpur pada 21 September lalu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM tempoh beberapa minggu lalu, berlaku kemalangan membabitkan tapak pembinaan dan peralatan pembinaan. Syukurlah dalam kemalangan terbaru, mangsa terselamat. Namun Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa dukacita kerana kemalangan berkenaan tidak seharusnya berlaku.

Setiap kali kemalangan, kita akan tertanya-tanya kenapa ia berlaku. Adakah ia cuma suatu kemalangan ataupun berlaku kerana kecuaian? Sekiranya disebabkan kecuaian, maka siapakah yang patut dipersalahkan? Pemaju, kontraktor, pekerja binaan atau pihak berkuasa sendiri?

Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan yang teliti dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kesemua kemalangan terbabit. Adakah kemalangan itu berlaku kerana pemaju mengupah kontraktor termurah tanpa memeriksa terlebih dulu kelayakan dan etika kerjanya?

Kontraktor pula mungkin mengupah buruh termurah yang boleh ditemui, iaitu pekerja asing yang tidak mahir dan terdapat juga kemungkinan mereka menggunakan bahan binaan murah dan tidak berkualiti untuk menjimatkan kos.

Terdapat juga kes peralatan yang digunakan di tapak binaan sudah rosak atau berbahaya apabila digunakan. Punca lain, ketiadaan penyelia di tapak binaan.

Satu hal yang pasti, dasar yang ada pada masa kini dan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa berhubung kemalangan dalam industri pembinaan tidak cukup tegas. Oleh itu, sejarah berulang.

Sehubungan itu, CAP ingin mengulangi gesaan yang telah kami lakukan berulang kali sebelum ini agar kerajaan bertindak tegas terhadap pihak yang menyebabkan kemalangan.

Sekiranya undang-undang sedia ada tidak membolehkan pihak berkuasa bertindak tegas seperti yang sepatutnya, maka undang-undang itu perlu dipinda.

PERSATUAN PENGGUNA PULAU PINANG
Georgetown, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya