SAUDARA PENGARANG,
KISAH seorang bekas model maut selepas diserang sawan ketika menjalani pembedahan menyedut lemak di sebuah pusat kecantikan wajar dijadikan pengajaran bagi setiap wanita yang ingin kelihatan menawan.
Wanita dan kecantikan memang tidak dapat dipisahkan, namun sekiranya inginkan rawatan tersebut, mereka perlulah mendapatkan perkhidmatan daripada mereka yang pakar dan berdaftar secara sah.
Ini kerana tidak semua pusat kecantikan berdaftar mempunyai kepakaran yang anda perlukan. Oleh itu, mereka yang mahu kelihatan cantik perlu merujuk kepada doktor pakar atau ke hospital yang memiliki kemudahan diperlukan untuk melakukan prosedur pembedahan.
Jangan kerana harga ditawarkan lebih murah atau tidak memerlukan prosedur ketat menyebabkan anda memilih pusat kecantikan yang belum tentu mampu untuk melakukan pembedahan kecantikan itu.
Begitu juga jangan terlalu mudah terpedaya dengan iklan yang disiarkan di laman sosial kerana maklum balas daripada pelanggan boleh dibuat-buat agar kelihatan seperti benar.
Sehubungan itu, sebelum membuat sebarang keputusan, dapatkan dahulu maklumat mengenai sesebuah pusat kecantikan daripada agensi berwajib. Melalui cara itu, anda boleh pastikan sama ada mereka benar-benar pakar atau menipu demi kelangsungan perniagaan.
Cara paling mudah dan selamat adalah dengan mengamalkan diet seimbang dan sihat tanpa melakukan sebarang pembedahan. Anda bukan sahaja boleh mengurangkan berat badan, malah tubuh badan akan lebih sihat serta bertenaga.
ADIRA SULAIMAN
Petaling Jaya, Selangor