SAUDARA PENGARANG,
BEBERAPA hari lalu, tular satu video seorang lelaki menghempas seekor kucing yang sedang berehat di atas keretanya.
Difahamkan kucing itu mati akibat penderitaan yang dialami susulan tindakan tidak berperikemanusian tersebut.
Pelaku kekejaman itu boleh didakwa di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) di bawah Seksyen 29, iaitu perbuatan-perbuatan penganiayaan terhadap haiwan.
Denda maksimum RM100,000 dan penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan kali pertama amatlah ringan jika dibandingkan dengan penderaan yang dilakukan terhadap kucing tersebut sehingga mengakibatkan perdarahan dalaman yang akhirnya membawa kepada kematian.
Saya menyeru kepada kerajaan supaya mencontohi kerajaan Turki yang menjaga kebajikan haiwan jalanan seperti kucing dan anjing semenjak berlaku wabak Covid-19.
Saya juga berharap kerajaan membina pusat pelindungan haiwan, bukannya membiarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menangkap secara kejam anjing dan kucing jalanan, seterusnya dimatikan dengan cara tidak sepatutnya (put to sleep).
Dalam pada itu, kerajaan juga disaran menyediakan geran kepada persatuan haiwan dan individu yang menjaga kebajikan haiwan jalanan dengan memberi makan serta menyelamatkannya.
NADURA KAMARULZAMAN
Pengasas merangkap Setiausaha
Persatuan Felin-Kanal Strayz Kingdom