SAUDARA PENGARANG,
KERAJAAN digesa mengharamkan sepenuhnya rokok elektronik (e-rokok) atau lebih dikenali dengan nama vape selaras dengan laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini bahawa pihaknya mengesan 805 penyakit paru-paru berkaitan dengannya yang melibatkan 12 kematian di negara itu.
Pada masa ini terdapat lebih 40 negara yang telah mengharamkan vape. Banyak negara Eropah termasuk Austria, Belgium, Jerman dan Itali pula mengklasifikasikan e-rokok sebagai produk tembakau yang tertakluk kepada kawalan ketat. Di Asia, Thailand mengharamkan vape sejak 2014; Singapura (2018) dan India (2019).
Kita kini sedang berdepan dengan bom jangka yang berdetik di tengah-tengah kita. Terdapat anggaran sejuta penghisap vape di Malaysia.
Malaysia mungkin berada di ambang kemungkinan berlakunya krisis kesihatan awam jika terdapat kes penyakit paru-paru berkaitan vape tidak dilaporkan. Mengesan sumber penyebab akan menjadi satu mimpi ngeri yang dahsyat.
Tidak seperti AS, di Malaysia, pihak berkuasa kesihatan tidak menubuhkan satu sistem untuk memeriksa jika terdapat kes berkaitan menghisap vape yang tidak dapat dikesan di negara ini. Di sinilah terdapat bahaya yang menanti. Kerajaan mestilah mengatasi dengan segera masalah ini sebelum ia menjadi lebih buruk.
Tinjauan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini melibatkan 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah mengenai vape mendapati mereka akan bertemu di pasar raya berdekatan sekolah dan mengumpulkan wang setiap minggu bagi membeli e-cecair untuk e-rokok.
Adalah tidak benar untuk mendakwa menghisap vape adalah alternatif yang kurang berbahaya berbanding merokok kerana tabiat itu mungkin menyebabkan penyakit paru-paru seperti emfisema dan obliterative bronchiolitis yang meninggalkan parut dan menyempitkan saluran udara.
Puncanya kerana terdapat bahan kimia diacetyl di dalam beberapa e-cecair. Kajian pada 2015 mendedahkan diacetyl ditemui dalam 39 daripada 51 e-cecair yang terdapat di pasaran AS. Diacetyl digunakan dalam pelbagai produk perisa e-rokok yang berbeza, terdiri dari vanila hinggalah kepada karamel dan kelapa.
Pada 2017, penyelidik AS menemui protein dalam saluran udara penghisap e-rokok yang diketahui menyumbang kepada penyakit pulmonari halangan kronik (COPD). Penanda tekanan oksidatif yang dikaitkan dengan penyakit paru-paru terdapat dalam semua peserta kajian ini.Tekanan oksidatif adalah satu keadaan ketidakseimbangan radikal bebas dan antioksidan dalam tubuh di mana ia boleh membawa kepada kerosakan tisu dan sel.
Terdapat juga kes alat e-rokok yang meletup. Bagaimanapun, tidak terdapat sebarang penarikan balik produk berkenaan dari pasaran.
Oleh itu, vape harus diharamkan kerana ia akan meningkatkan risiko kesihatan, membazir wang dan akan membuka jalan kepada ketagihan menghisap tembakau.
Ia juga akan menjadi beban kewangan kepada negara untuk merawat mereka yang menghidap penyakit berkaitan menghisap vape.
MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden CAP