SAUDARA PENGARANG,
KERAJAAN digesa mengharamkan glyphosate dan racun rumpai berasaskan glyphosate kerana kesan toksiknya ke atas kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar.
Bahan kimia itu diharamkan di Belanda, Perancis, Brazil, Rusia, Mexico dan Sri Lanka. Glyphosate dikategorikan sebagai kemungkinan boleh menyebabkan kanser darah yang dinamakan non-Hodgkin limfoma (NHL) kepada manusia oleh Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan Kanser (IARC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2015.
Bukti-bukti yang ada amat membimbangkan memandangkan glyphosate adalah racun rumpai yang paling banyak digunakan dalam sejarah manusia.
Racun rumpai berasaskan glyphosate yang paling biasa ialah Roundup, dikeluarkan oleh Monsanto yang telah dibeli oleh syarikat Jerman, Bayer AG pada 2018. Monsanto dan Bayer AG menghadapi lebih daripada 9,000 tuntutan mahkamah di Amerika Syarikat (AS) yang dikemukakan oleh mereka yang menderita akibat NHL yang mendakwa racun keluaran syarikat terbabit
menyebabkan penyakit.
Pada Mac 2019, Juri Persekutuan AS memutuskan, Monsanto bertanggungjawab bagi kanser yang dialami oleh seorang lelaki dari California dan memerintahkan supaya syarikat tersebut membayar AS$80 juta kepadanya.
Sebagai pengguna, kita mungkin memikirkan bahawa kita selamat kerana tidak terdedah secara langsung kepada glyphosate ketika penyemburan racun rumpai itu.
Walaupun begitu, orang ramai masih boleh terdedah kepada sisa glyphosate pada tanaman yang tidak boleh dibersihkan sama ada dengan membasuh mahupun terurai ketika memasak.
PERSATUAN PENGGUNA PULAU PINANG (CAP)
Georgetown, Pulau Pinang