SAUDARA PENGARANG,
KEKUATAN media amat memberi kesan, bukan sahaja kepada gerak kerja, malah dalam meningkatkan pengaruh sesebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Media memainkan peranan cukup penting dalam menyampaikan ideologi, pendirian, fungsi sebenar dan kekuatan sesebuah NGO itu. Media juga mampu berfungsi sebagai ejen penghubung antara masyarakat dengan NGO.
Dengan kata lain, keberadaan sesebuah NGO itu di mata orang awam banyak bergantung kepada kekuatan media mereka. Ia harus dikuasai bagi memudahkan kerja-kerja pengurusan persepsi terhadap sesebuah pertubuhan itu sendiri.
Pada masa sama, NGO perlu bijak dalam menjadikan platform media sosial sebagai medium penting untuk mendekati ahli serta masyarakat. Hal ini ialah kerana media sosial mempunyai pengaruh cukup besar terutama dalam kalangan belia. Majoriti belia berkomunikasi dalam alam siber.
Lima aplikasi yang paling banyak dimuat turun di telefon bimbit seluruh dunia pada 2019 adalah WhatsApp, Messenger, TikTok, Facebook dan Instagram. Data ini jelas menunjukkan ranking ini dikuasai sepenuhnya oleh aplikasi yang berteraskan media sosial.
Bagi maksud itu, NGO perlu bergerak seiring dengan trend semasa bagi mempromosikan aktiviti mereka melalui media sosial agar fungsi dan peranan NGO dapat terus dilihat relevan di mata masyarakat terutama golongan belia.
Sesebuah NGO itu perlu berani untuk melabur dalam menyediakan unit media mereka sendiri agar segala gerak kerja berkaitan media menjadi lebih lancar.
JUFITRI JOHA
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)