Cameron Highlands semakin sesak - Utusan Malaysia

Cameron Highlands semakin sesak

PERLU dipastikan masalah kesesakan di Kea Farm, Cameron Highlands dapat diatasi dengan segera. – IHSAN MDCH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KUNJUNGAN ke Cameron Highlands baru-baru ini menarik minat saya untuk menulis di ruangan ini. Tanah tinggi itu kian pesat membangun dengan lebih banyak pembangunan hartanah dan ekonomi.

Cuma saya mendapati kekurangan stesen minyak dan hentian rehat boleh menimbulkan masalah kepada pengguna Jalan Simpang Pulai ke Brinchang sejauh 75 kilometer.

Masalah kesesakan lalu lintas amat dirasakan terutama pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, juga ketika cuti sekolah dan cuti umum. Pihak berkuasa perlu memikirkan sesuatu bagi mengurangkan kesesakan daripada berlaku.

Di tapak-tapak perniagaan sepanjang perjalanan menuju Brinchang, kawasan parkir amat terhad dan kesannya, kereta dan bas diletak sewenang-wenangnya di bahu jalan, hingga menambah kesesakan jalan.

Dilihat banyak projek pembangunan baharu. Misalnya, di antara kawasan perniagaan yang menjadi tumpuan pelancong, Kea Farm dengan pekan Brinchang. Kawasan bukit nampak ditarah dan tentunya membawa hakisan tanah dan mendapan. Tidak dipastikan adakah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa termasuk Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH)?

Di Kea Farm, keadaan begitu sesak dan penjarakan fizikal sukar dijalankan. Harga barang-barang juga tidak sama, di mana gerai di tepi jalan lebih mahal daripada gerai yang jauh ke dalam. Maka pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu lebih kerap dijalankan.

Sikap sesetengah pemandu kenderaan perdagangan yang memandu sangat laju sama ada dari Tapah atau Simpang Pulai ke Cameron Highlands juga amat membahayakan pengguna. Maka pemantauan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu lebih kerap diadakan.

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya