SAUDARA PENGARANG,
TAHUKAH anda, Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk golongan berpendapatan rendah B40 yang terakhir di Cameron Highlands dibina kira-kira 40 tahun lalu? Selepas itu, tiada PPR baharu dibina sehingga kini.
Kita sudah berada pada 2020 tetapi penduduk B40 di Cameron Highlands masih tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana harga rumah di situ melambung tinggi. Ini diakibatkan oleh pembelian rumah oleh orang luar untuk tujuan pelaburan dan penyewaan kepada pelancong.
Projek perumahan yang dikatakan mampu milik seperti dibina Perbadanan PR1MA Malaysia, dijual dengan harga lebih RM200,000, jauh melebihi kemampuan golongan B40.
Ada dalam kalangan penduduk yang meluahkan kekecewaan dengan menyatakan, sampai mereka meninggal pun tidak akan mampu membeli rumah. Semua pihak termasuk Majlis Daerah Cameron Highlands perlu membantu golongan B40 terbabit yang kini tertekan kerana kadar sewa rumah yang mahal antara RM800 hingga RM900 sebulan.
Jawatankuasa Rumah Mampu (JRM) Cameron Highlands yang dianggotai golongan B40 diwujudkan bagi melancarkan kempen tandatangan mendesak Kerajaan Persekutuan mengumumkan pembinaan PPR di situ dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan bulan depan.
Petisyen tandatangan itu akan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
PARTI SOSIALIS MALAYSIA (PSM)
Kuala Lumpur