SAUDARA PENGARANG,
CADANGAN kerajaan negeri Selangor untuk melakukan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) akan membebaskan 5.5 juta tan karbon dioksida yang menyumbang kepada krisis iklim.
Ketika ini, HSKLU bertindak sebagai penapis untuk udara tercemar yang ditiup angin barat daya (Mei-September) setiap tahun dari pusat perindustrian di barat HSKLU ke arah Lembah Klang.
Tanpa HSKLU, udara tercemar akan sampai kepada penduduk Lembah Klang dan meningkatkan masalah kesihatan.
Kebanyakan rakyat Selangor yang tidak mampu ke hospital swasta akan berpusu-pusu ke hospital kerajaan. Dalam jangka masa pendek, ini akan memberikan tekanan terhadap infrastruktur kesihatan awam serta menurunkan produktiviti negeri.
Dalam pada itu, terdapat kemusykilan cadangan kerajaan Selangor mengenai lokasi di Sabak Bernam yang bertujuan menggantikan hutan simpan berkenaan.
Ini berikutan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebelum ini mengeluarkan surat kebenaran pada 11 Disember 2019 yang membenarkan pembukaan ladang kelapa sawit di kawasan sama.
Selain itu, tidak wujud keperluan pembangunan bercampur di tapak HSKLU kerana berdasarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Selangor dan Kuala Lumpur memiliki 30 peratus daripada jumlah rumah yang tidak terjual di Malaysia pada 2019.
Sementara itu, ruang pejabat tanpa penghuni ialah 23.5 peratus pada tahun sama. Kadar ini dijangka meningkat dengan budaya kerja dari rumah dan pembinaan bangunan pencakar langit baharu di Kuala Lumpur.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, kadar pertumbuhan penduduk di Selangor pada 2019 hanya kira-kira 0.8 peratus. Oleh itu, kerajaan negeri perlu membatalkan pembangunan bercampur di tapak HSKLU dan mewartakannya sebagai hutan adat Orang Asli Temuan.
M. SHARAN RAJ
Kuala Lumpur