SAUDARA PENGARANG
DALAM keghairahan menuju status negara maju berasaskan teknologi dan perindustrian, tidak wajar jika kita mahu melupakan sektor pertanian secara total. Jelas dalam keadaan kritikal yang mana seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19, isu keselamatan makanan timbul semula. Kita seharusnya memperkasa semula polisi yang telah dirangka bagi memastikan negara tidak dilanda krisis makanan. Isu keselamatan makanan jika diamati dari lensa yang lebih besar mampu menjana ekonomi negara secara tidak langsung. Strategi serampang dua mata sudah semestinya diperlukan dalam menjayakan usaha ini.
Program perantis profesional amat sesuai dilaksanakan dengan diterajui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta agensi-agensi berkaitan. Sudah tiba masanya insentif bersesuaian diberikan bagi menarik golongan profesional menceburi bidang pertanian. Kadangkala mereka bukan tidak berminat, namun kerenah birokrasi membantutkan hasrat. Tanaman baharu yang diyakini mampu memacu ekonomi dapat direalisasikan oleh golongan profesional. Mereka dapat mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman mereka bagi mengangkat imej pertanian ke arah dimensi baharu.
Kita sudah terkenal dengan durian Musang King yang bersifat premium. Terdapat pelbagai lagi tanaman yang boleh diceburi sekali gus merancakkan industri pertanian. Negara mampu menjana ekonomi di samping menangani isu keselamatan makanan secara mapan. Kita tidak mahu sekiranya terjadi lagi perkara luar jangka seperti pandemik ini menjejaskan rantaian makanan dan ekonomi secara amnya.
Diharapkan syor ini mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkaitan agar satu polisi dan gerak kerja tuntas dapat dilaksanakan demi kebaikan semua.
MOHD. FIRDAUS ABD MUNIR
Ketua Jabatan Bahasa MRSM Bentong