SAUDARA PENGARANG,
KES positif pandemik Covid-19 yang tiba-tiba menunjukkan peningkatan mendadak pada 8 September lalu menimbulkan perasaan risau dan takut dalam kalangan rakyat.
Dalam pada itu, ramai juga dalam media sosial mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang pernah dilakukan dari 18 Mac hingga 4 Mei dahulu.
Bagi saya, idea supaya dilaksana semula PKP dengan arahan ‘kurung di rumah’ adalah tindakan tepat pada dasar amalan kesihatan. Namun, ia tidak sama sekali tepat untuk perkembangan ekonomi.
Pakar-pakar ekonomi ada menyebut, sekiranya kita kembali lockdown dan sekadar mengharapkan kerajaan memberi bantuan setiap hari, maka ekonomi yang telah dibina sejak enam dekad bakal rosak dengan teruk.
Saya penuh yakin, dalam lubuk hati para Jemaah Menteri, mereka mahukan PKP dilanjutkan sehingga ke hari ini kerana ia terbukti berkesan membendung penularan pandemik berkenaan.
Malangnya, mereka tiada pilihan melainkan memberhentikan PKP dan menggantikan dengan PKP Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu bagi memberi peluang aktiviti ekonomi kembali aktif.
Jika tidak, negara akan mencatat kerugian sebanyak RM35 bilion lagi. Untuk rekod, sepanjang PKP dilaksanakan, negara dianggarkan rugi sebanyak RM63 bilion.
Kini, selepas lebih tiga bulan kita hidup dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ekonomi domestik kian positif.
Inilah yang dimaksudkan saya, idea melaksanakan semula PKP untuk semua 14 negeri atau paling kurang seluruh Sabah dan Kedah harus ditolak.
IBN SAAD BARAKBAH
Putrajaya